KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan penjualan konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad, sebaliknya kekal menjadi milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas kerajaan meneliti semua bidaan dikemukakan pihak swasta dan Khazanah.
Katanya, keputusan berkenaan dicapai selepas mesyuarat Kabinet semalam.
“Kita sudah mengkaji semua bidaan yang dibuat oleh sektor swasta dan pada akhirnya kita putuskan cara yang terbaik adalah untuk tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak, sebaliknya terus kekal dengan Khazanah dan KWSP,” katanya.