KIMANIS – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini tidak bergantung dan ditentukan sepenuhnya oleh mana-mana kajian badan pemikir dan akademik.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya menegaskan, pilihan raya bagi menentukan wakil rakyat di situ hanya dimuktamadkan oleh pengundi.
“Saya menghormati semua kajian, tapi akhirnya kuasa rakyat akan menentukan kemenangan mutlak pada 18 Januari nanti.
“Saya yakin kerja yang kita buat secara mendekati akar umbi adalah kerja bukan hanya memberikan pencerahan terhadap beberapa isu sepanjang kempen ini, tapi perasaan, minda dan dokongan rakyat telah berubah sekarang ini.
“Tentunya slogan yang kita gunakan untuk merubah dokongan sedia ada dalam kerajaan negeri dan persekutuan akan kembali memihak kepada BN.
“Ia terbukti dalam empat PRK lalu yang telah dimenangi BN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kg Brunei, di sini, hari ini.
Beliau mengulas Kajian Ilham Centre yang meramalkan calon Warisan, Datuk Karim Bujang menang selesa dalam PRK Parlimen Kimanis sekaligus meranapkan kubu kuat BN.
Hasil kajian itu mendapati Karim selaku bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan mempunyai 57 peratus kelebihan berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.
Menurut ketua penyelidiknya Dr Muhd Yusri Ibrahim, hasil dapatan itu berdasarkan kajian yang dibuat membabitkan 491 responden terdiri daripada pengundi berdaftar di Parlimen Kimanis.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan, Pas Residen bukan Pas Sementara Sabah (PSS) seperti mana yang didakwa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Pas Residen bukannya PSS, ini harus dibezakan. PSS ini adalah cadangan datangnya Kerajaan Negeri Sabah sedia ada (Warisan).
“Tiada perkataan PSS yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal ataupun Jawatankuasa Induk yang saya pengerusikan bersama Tan Sri Musa ketika itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette