LONDON – Liverpool boleh melebarkan jurang antaranya dan Manchester United kepada 30 mata jika mereka menang pada pertembungan antara dua kelab paling berjaya di England itu di Anfield, awal pagi Isnin ini.
Skuad kendalian Jurgen Klopp semakin menghampiri pemburuan penantian 30 tahun untuk menang gelaran liga ketika mereka mendahului 14 mata di depan juara bertahan, Manchester City dengan satu perlawanan dalam tangan.
United pula 13 mata di belakang, selain bermain lebih satu perlawanan berbanding pencabar itu dan perlu menamatkan musim dengan baik untuk mengelak gagal layak ke Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut.
Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun merupakan pasukan tunggal yang berjaya memperlahankan perjalanan Liverpool untuk meraih gelaran Liga Perdana.
Keputusan seri 1-1 pada pertembungan Oktober lalu adalah satu-satunya perlawanan juara Eropah itu keciciran mata musim ini.
Mereka kini mencipta rekod lima liga utama Eropah dengan 20 kemenangan daripada 21 perlawanan awal.
“Pasukan kami memiliki minda kemenangan. Kami sentiasa fikirkan perlawanan seterusnya, kami tidak terlalu jauh melihat ke depan,” kata penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, yang hanya melepaskan satu gol dalam 10 perlawanan terakhir.
Penjaga gol nombor satu dari Brazil itu yakin akan meraih satu lagi keputusan tanpa bolos awal pagi Isnin ini.
Penjaring terbanyak United, Marcus Rashford diragui akan bermain selepas tidak mampu bertahan selepas 15 minit dimasukkan selaku pemain gantian pada separuh masa kedua ketika menang 1-0 menentang Wolves pada Piala FA, awal pagi semalam. – MalaysiaGazette