Home Utama Keterangan bercanggah: Haniff minta Peguam Cara Negara beri penjelasan

Keterangan bercanggah: Haniff minta Peguam Cara Negara beri penjelasan

Muhammad Yusoff Rawther bercakap pada sidang media mengenai kes serangan mencabul kehormatan Muhammad Yusoff Rawther oleh seorang ahli politik di Kota Damansara, Selangor. foto IQBAL BASRI, 17 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) diminta supaya memberikan penjelasan terperinci berhubung keputusan menutup kes serangan seksual ke atas Muhammad Yusoff Rawther.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Peguam Cara Negara, Datuk Tengku Nor Faiza Engku Atek semalam meminta supaya satu temujanji ditetapkan dalam masa terdekat agar perkara tersebut dapat diselesaikan.

“Kita tulis surat bertarikh 16 Januari dan telah di emel kepada Datuk Engku (Peguamcara Negara) malam semalam. Kita juga hantar ke pejabatnya untuk meminta dengan jelas agar dinyatakan perkara itu (keputusan menutup kes).

“Kita kena berlaku adil, kena ikut undang-undang dan Peguam Negara kena jelaskan dalam temujanji.

“Perkara ini sangat penting kerana ia melibatkan masa depan Yusoff Rawther (anak guamnya),” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Artikel berkaitan: Wujud keterangan bercanggah, kes Yusoff Rawther terhadap Anwar ditutup

Selasa lalu, Tengku Nor memaklumkan pihaknya bersetuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya dakwaan kes serangan mencabul kehormatan yang dibuat Muhammad Yusoff Rawther terhadap seorang ahli politik ditutup.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas kajian secara berhati-hati terhadap semua keterangan yang diterima dalam Kertas Siasatan yang diterima daripada PDRM.

Menurut beliau, terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material tidak dapat menyokong sebarang pendakwaaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan atau mana-mana seksyen lain di bawah kanun yang sama.

Malah, pihaknya turut mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam Kertas Siasatan.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff menegaskan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan langkahnya untuk mengambil tindakan sivil terhadap Yusoff.

Beliau turut mencabar agar Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak menarik balik tindakan sivil yang telah difailkan.

Haniff turut memberitahu, pihaknya akan tetap akan mengambil tindakan sivil yang sama bagi kes itu meskipun pencerahan telah diberikan oleh pihak peguamcara. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anwar tak maafkan Yusoff

1 Komen

  1. Bagus peguam Mohamed Haniff ni minta penjelasan terperinci berhubung keputusan menutup kes serangan seksual ke atas Muhammad Yusoff Rawther. Itu lah yang sepatutnya walaupun proses pendakwaan masih lagi jauh.

    Tetapi apa yang sangat ANEH, sehingga kini tiada satu apa pun penjelasan berkenaan pegguguran kes rasuah banglo murah LGE walaupun kes tengah berjalan? Alasan TERKEJUT bukanlah suatu alasan yang dapat diterima rakyat?

    Undang2 itu bukanlah suatu bende yang dilihat adil tetapi perlulah adil seadil2nya!

    Masih belum terlewat untuk AGC menjelaskan kepada rakyat marhaein!

Comments are closed.