Home Politik PRK Kimanis: Penduduk diingat laksana tanggungjawab mengundi esok

PRK Kimanis: Penduduk diingat laksana tanggungjawab mengundi esok

KIMANIS – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengajak pengundi pergi mengundi beramai-ramai esok dan membuat keputusan yang bijak bagi memilih wakil rakyat baharu mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketika membuat gesaan itu sebelum kempen berakhir pada 11.59 malam ini, beliau berkata pengundi perlu memilih wakil rakyat Kimanis yang mampu menyuarakan keperluan dan kehendak penduduk termasuk memastikan pembangunan lebih mampan di kawasan berkenaan.

“Semua pengundi, bukan hanya yang berada di Kimanis tetapi juga pengundi luar dari Labuan, Kota Kinabalu, Papar dan Beaufort diharap turun menunaikan tanggungjawab esok kerana ini penting untuk memilih wakil rakyat Kimanis,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan penduduk di Kampung Likas, Binsulok, Membakut di sini, hari ini.

Seramai 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi pada PRK Parlimen Kimanis akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka, esok.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.- BERNAMA