Home Nasional Wanita OKU hilang ditemukan mati 50 meter dari rumah

Wanita OKU hilang ditemukan mati 50 meter dari rumah

KUALA PILAH – Kehilangan seorang wanita warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak 2 Januari lepas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan lebih kurang 50 meter dari rumahnya di Kampung Sungai Dua disini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Salminyah Mohd Yusof, 67, ditemui sepasukan polis Ronda Khas Balai Polis Kuala Pilah yang melakukan rondaan serta mencari berhampiran rumahnya lebih kurang pukul 3 petang semalam.

Menurut Kalsom, 70, yang merupakan kakak mangsa, kehadiran polis ke rumahnya telah menjadi rutin sejak adiknya itu dilaporkan hilang dengan tujuan untuk memaklumkan perkembangan siasatan selain bertanyakan perkembangan daripada pihak keluarganya.

“Bagaimanapun, ketika anggota tersebut ingin beredar, mereka terhidu bau busuk dan bertindak mencari punca bau itu dan hasil pemeriksaan di hutan berhampiran, mereka ternampak tangan adik saya terkulai daripada celah pokok.

“Kami tidak terfikir untuk mencari adik di kawasan tersebut kerana lokasinya agak tinggi dan sukar untuk seorang wanita tua juga OKU naik ke atas bukit itu,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, walaupun sedih dengan kehilangan adiknya itu namun bersyukur dan reda kerana jasad adiknya telah ditemui malahan penantian keluarganya selama 15 hari telah terjawab.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supt Amran Mohd Ghani ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk proses bedah siasat.

“Sepasukan polis Ronda Khas Balai Polis Kuala Pilah telah menemui mayatnya lebih kurang jam 3.30 petang sebaik terhidu bau busuk berhampiran kediaman pengadu.

Ketika ditemukan mayatnya dalam keadaan mengiring dan lengkap berpakaian berhampiran sebatang pokok kira-kira 50 meter dari rumah mangsa, selain dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum ditemui,” katanya. – Bernama