Home Nasional Sekali lagi Ambiga ugut akan turun ke jalanan kerana PH mungkir janji

Sekali lagi Ambiga ugut akan turun ke jalanan kerana PH mungkir janji

Datuk Ambiga Sreenevasan.

KUALA LUMPUR – Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), nama Datuk S Ambiga sangat sinonim dalam menjadi ‘jurucakap’ kepada pimpinan Pakatan Harapan yang menjanjikan pelbagai reformasi seandainya menang besar.

Malah Ambiga yang juga merupakan Presiden Hak Asasi Manusia Kebangsaan merupakan antara pengkritik tegar kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) sejak dulu lagi.

Bagaimanapun baru-baru ini, beliau kelihatan seringkali melahirkan rasa kecewa dengan kerajaan PH yang bukan sahaja gagal menunaikan janji seperti dalam manifesto sebelum PRU malah selama mereka menjadi pembangkang banyak mengkritik serta omong-omong sahaja.

Terbaharu, Ambiga yang juga merupakan bekas Pengerusi Bersih sekali lagi mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk kembali ke jalanan seperti dahulu seandainya PH tidak melaksanakan beberapa pembaharuan utama pada Jun ini.

“Sebenarnya ada beberapa perkara sudah digubal tetapi tetap tidak dilakukan menjelangnya Jun ini, ini tidak lebih daripada kegagalan sepenuhnya komitmen diberikan oleh PH untuk melakukan pembaharuan.

“Tentunya kita tidak pernah terfikir untuk turun ke jalanan apabila melibatkan kerajaan PH ini tetapi seandainya ada keperluan, kita akan lakukan juga. Ini bukan untuk kerajaan tetapi ini adalah soal rakyat, itu sahaja,” tegasnya

Beliau dilaporkan berkata demikian kepada pemberita selepas forum bertajuk ‘Laporan Jawatankuasa Pembaharuan  Institusi (IRC): Mengapa Rahsia?’ di sini hari ini.

Sebelum ini, pada 11 Disember tahun lepas, Ambiga sudah memberikan bayangan akan turun ke jalanan  ke jalanan melakukan demonstrasi jika kerajaan PH terus mengabaikan isu-isu kemanusiaan.

Ambiga ketika itu mengkritik kelewatan menggubal pindaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC),  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain lantang menyoal kerajaan berkait dengan tahanan yang dikaitkan dengan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kali ini, pengamal undang-undang itu juga tanpa segan silu juga melahirkan kebimbangan beliau dengan pendirian PH yang kerap kali melakukan pusingan ‘U’ sejak mengambil alih pentadbiran negara.

“Pembaharuan utama yang dituntut adalah IPCMC dan isu hukuman mati. Kata PH, ianya akan dikeluarkan sekitar Mac tetapi ikut sejarah pusingan ‘U’, kita masih lagi bimbang.

“Pastinya keputusan untuk turun ke jalanan ini adalah sesuatu yang berat tetapi apakan daya kami. Kita juga tidak ada pilihan dan pastinya kerajaan juga perlu bertindak seperti janji.

“Saya tidak cakap tidak ada apa-apa yang baik yang telah dilakukan oleh PH, memang ada yang baik telah mereka lakukan. Tetapi ada banyak lagi janji utama yang perlu di tepati, pilihan raya umum juga tidak lama,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Ambiga beri ‘amaran’ rakyat kembali protes jika PH gagal tepati janji