Home Nasional Kedah perlu pembenihan hujan, banyak kawasan alami masalah air

Kedah perlu pembenihan hujan, banyak kawasan alami masalah air

Pegawai Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) memasukkan tong berisi air yang dilarutkan garam ke dalam pesawat bagi proses pembenihan awan berikutan jerebu yang melanda di Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Subang. foto FAREEZ FADZIL, 16 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Tidak menerima hujan dua bulan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berharap agar pembenihan hujan dilakukan segera kerana banyak kawasan kini mengalami masalah bekalan air.

Pengerusinya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tentang tarikh pembenihan hujan.

“Semalam nampak sudah ada sedikit awan, tetapi hari ini langit masih biru, jadi tidak sesuai untuk melakukan pembenihan awan… apapun kita masih tunggu maklumat daripada METMalaysia bila hari yang sesuai.

“Kita memang sangat memerlukan hujan kerana banyak kawasan sudah mengalami masalah bekalan air, sebab itu kita anjurkan solat sunat Istiqa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat Perhimpunan Penjawat Awam dan Hari Bertemu Pelanggan SUK Kedah di Dataran Medan Bandar, hari ini.

Menteri Besar Kedah itu menambah, msim kemarau kini juga memberi kesan kepada jaminan bekalan makanan seperti padi selain industri perikanan akibat peningkatan suhu di laut.

“Kita sedang mengalami pemanasan global, terumbu karang mati akibat peningkatan suhu laut, seterusnya menjejaskan bekalan ikan kerana semuanya bersangkut paut.

“Ini bermakna, kita perlu bersama-sama menjaga alam sekitar bagi mengurangkan masalah pemanasan global ini termasuk pendekatan yang sudah diambil kerajaan negeri iaitu menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan Ulu Muda,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata paras air tiga empangan di negeri tersebut masih mampu dilepaskan bagi tujuan domestik dan pertanian.

Mukhriz turut memberi jaminan akan terus memantau bekalan air di Kedah.- MalaysiaGazette

+ posts