Home Nasional Malaysia komersialkan 5G suku ketiga tahun ini

Malaysia komersialkan 5G suku ketiga tahun ini

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bergambar pada Majlis Perasmian Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2020

LANGKAWI – Malaysia berada pada landasan yang baik untuk mengkomersialkan 5G pada suku ketiga tahun ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, 5G adalah komponen penting bagi negara ini kerana ia mempunyai kuasa untuk mempromosikan pelbagai perkhidmatan baru,meningkatkan kecekapan pembuatan serta merangsang inovasi di seluruh negara.

“Sejak “5G Malaysia Showcase” pada April 2019, persediaan untuk menggunakan 5G bertambah maju dan saya gembira untuk menyatakan Malaysia berada dalam landasan untuk melancarkan 5G secara komersial pada suku ketiga tahun ini,” katanya ketika berucap pada demonstrasi projek-projek 5G di sini malam ini.

Menurut beliau, demonstrasi projek-projek ini menandakan permulaan perjalanan Malaysia ke arah mengukuhkan ekonomi dan mencapai pertumbuhan mampan serta berkongsi kemakmuran.

Ia juga menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada setiap warga negara Malaysia pada tahun 2030.

Tambah Dr Mahathir, secara ekonomi, 5G boleh berfungsi sebagai infrastruktur untuk pertumbuhan yang inovatif

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Perasmian Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2020

Konvergensi 5G dan perbezaan sektor industri seperti pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembuatan, pintar pengangkutan, dan pelancongan memberikan peluang baru untuk industri, masyarakat dan individu meningkatkan matlamat digital dan memberikan perkhidmatan baru dan lebih baik.

Sebagai contoh, katanya, pengeluaran kekal sebagai salah satu sektor penting bagi kedua-dua negara membangun dan maju yang mana di negara-negara membangun, sektor pengeluaran terus memainkan peranan meningkatkan pendapatan dan standard kehidupan.

Manakala di negara maju, ia kekal sebagai sumber inovasi utama dan daya saing – dengan sumbangan besar kepada penyelidikan dan pembangunan, eksport dan pertumbuhan produktiviti.

“Begitu juga di Malaysia, sektor pembuatan telah memainkan peranan utama dalam menjadikan negara ini sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global.

“Selama lima tahun yang lalu, industri pembuatan telah menyumbangkan 22% kepada KDNK dan ia kekal penting kepada ekonomi negara,” ujar Dr Mahathir.

Disebabkan itu, katanya Konsep Malaysia Diperbadankan yang menyatukan sektor swasta dan awam untuk membangunkan Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1981 masih boleh diguna pakai pada hari ini.

Konsep itu kini jauh lebih penting berbanding sebelumnya untuk memastikan matlamat kejayaan negara dapat dicapai.

Tambahnya, dalam pergerakan dunia yang semakin pantas, Malaysia perlu tangkas melakukan perubahan, jika tidak negara ini tidak berubah dan tidak mampu bersaing dengan ekonomi global.

Menurutnya, Malaysia perlu meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan terus bekerjasama dalam semangat baru untukĀ  bersaing.

Jelas beliau, kesediaan organisasi untuk membuka pintu kepada pihak lain dan berkongsi amalan terbaik akan mempercepatkan penggunaan Revolusi Perindustrian Keempat. – MalaysiaGazette