KUALA TERENGGANU – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini menafikan desas-desus kononnya Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mengemukakan permohonan untuk menyertai parti itu.
“Saya rasa itu berita palsu. Kalau kita lihat YB (Yang Berhormat) Zuraida ini seorang menteri, dia adalah Naib Presiden PKR, sekiranya ada permohonan hendak masuk Bersatu sudah pasti ianya dibincangkan dahulu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP), di sini hari ini.
Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebaran surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa borang keahlian Bersatu, kononnya adalah permohonan Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyertai parti itu.
Dalam pada itu Zuraida pada hari ini turut menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan tidak pernah berniat untuk menyertai parti politik lain.
Ahli Parlimen Ampang itu juga sebelum ini diberi surat tunjuk sebab pada 15 Januari lepas atas pertuduhan salah laku disiplin dan diberi tempoh selama 14 hari untuk mengemukakan jawapan.- BERNAMA