DUBLIN – Air France- KLM menafikan syarikat penerbangan tersebut terlibat dalam usaha mencari pelabur-pelabur baharu untuk Malaysia Airlines seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Air France-KLM memang pernah berhubung dengan pemegang-pemegang saham Malaysia Airlines sebelum ini tetapi sekarang, Air France-KLM bukan pihak yang terlibat dalam proses penjualan Malaysia Airlines.
“Kami sentiasa mengkaji peluang-peluang pelaburan global sesuai dengan matlamat strategik kami untuk menjadi peserta industri yang pragmatic seperti yang dipersembahkan semasa Hari Pelabur Air France-KLM pada November 2019,” katanya seperti yang dilaporkan Reuters.
Reuters sebelum ini melaporkan beberapa kertas cadangan telah diterima berhubung penjualan syarikat penerbangan Malaysia itu.
Ini termasuk daripada Air France-KLM yang dikatakan mahu memiliki sehingga 49 peratus kepentingan manakala Japan Airlines pula berminat untuk memiliki 25 peratus kepentingan.
Laporan yang memetik sumber itu turut menyatakan AirAsia Group Bhd. dan Malindo Air turut menghantar kertas cadangan masing-masing.- Agensi