KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menurunkan 25 mata asas bagi kadar asas dan deposit tetap/pulangan tetap akaun-i, susulan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Semalam, BNM menurunkan 25 mata asas daripada 3.00% kepada 2.75% yang berkuatkuasa 30 Januari ini.
Begitu juga, Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR), masing-masing akan dikurangkan sebanyak 0.25%.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pengurangan OPR ini adalah tepat pada masanya ketika inflasi dalam keadaan baik dan petunjuk utama ekonomi utama sederhana.
Pertumbuhan mantap ekonomi Malaysia dijangka disokong oleh langkah terbaru oleh Bank Negara untuk pengembangan ekonomi pada trajektori yang lebih baik pada masa depan.
Menurutnya, cabaran makroekonomi semasa, khususnya rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China yang sedang berjalan, dilihat sebagai ancaman kepada pertumbuhan ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.
“Kami berharap pengurangan 0.25% tidak hanya akan meringankan beban peminjam, tetapi juga merangsang pemberian pinjaman, pelaburan dan penggunaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette