Home Politik BN berjaya ‘tundukkan’ Shafie batalkan PSS

BN berjaya ‘tundukkan’ Shafie batalkan PSS

Zahida Zarik Khan.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO tidak menafikan bahawa kemenangan Barisan Naisonal (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis berjaya ‘menundukkan’ kerajaan Sabah untuk membatalkan Pas Sementara Sabah (PSS).

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kerajaan negeri membatalkan pelaksanaan PSS hanya selepas calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang tewas dalam pilihan raya Sabtu lalu.

“Hari ini PSS dibatalkan hanya kerana mereka kalah dalam PRK lalu, bukan kita cakap besar, tapi kita mesti ambil berat hak rakyat Sabah.

“Kita ucapkan tahniah kepada pengundi-pengundi Kimanis kerana bijak dan pandai membuat pilihan.

“Insya-Allah BN akan sentiasa buat yang terbaik khususnya untuk memperbaiki dan perjuangkan hak rakyat Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk membatalkan pelaksanaan PSS.

Mohd. Shafie berkata keputusan itu dibuat selepas Warisan tewas dalam PRK Kimanis yang memberi isyarat rakyat menolak pelaksanaan pas berkenaan.

Pada 6 September tahun lalu, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan PSS yang akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun ini.

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan PSS dibuat berdasarkan saranan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 September 2019.

Zahida juga melahirkan rasa gembira dengan langkah kerajaan Sabah membatalkan PSS kerana ia telah diterjemahkan pengundi dalam PRK Parlimen Kimanis lalu.

“Bila tengok sambutan rakyat Kimanis yang terjemahkan kepada undi dan mereka sangat marah dengan isu PSS dan mereka merasakan itu hak rakyat.

“Bila PSS diberikan kepada orang luar, banyak hak Sabah mungkin akan terhala kepada mereka.

“Bila bercakap dengan rakyat Kimanis khusus Kadazan Dusun Murut, paling mereka risau dan marah adalah isu PSS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Menteri KDN TSMY belum mengumumkan pembatalan PSS kerana tiada tarikh khusus pembatalan berkuatkuasa, cuma peringkat Negeri Sabah sahaja seperti pengumuman Ketua Menteri Sabah DSSA.

Comments are closed.