Home Utama Batal PSS: KDN senada dengan keputusan Sabah

Batal PSS: KDN senada dengan keputusan Sabah

Para penyokong hadir pada Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pekan Lama Membakut, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) senada dengan pendirian kerajaan Sabah yang membuat keputusan membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, KDN berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan kerajaan negeri dalam isu PSS melalui Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah yang telah diadakan pada 22 Januari lalu.

“Perkara ini telah diputuskan oleh Kerajaan Negeri Sabah setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak,” kata dalam kenyataan tersebut.

Justeru katanya, memandangkan keputusan pelaksanaan PSSĀ  merupakan persetujuan bersama Sabah dan kerajaan pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk), maka pihak kementerian selaku penyelaras bersama mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan Negeri Sabah berhubung pembatalan PSS.

Katanya, kementerian komited dalam menangani masalah pelarian di Sabah dengan kerjasama Sabah.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa tindakan penyelesaian mengenai isu pelarian di Sabah adalah komitmen bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Pusat yang mesti
dilaksanakan secara berterusan dengan lebih teliti dan berhati-hati tanpa menjejaskan hak-hak warganegara, kepentingan dan keselamatan rakyat di negeri Sabah,” kata kementerian lagi.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan Sabah batal pelaksanaan PSS