KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 24 Februari ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak yang mahu mendapatkan salinan rakaman audio yang telah didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pendengaran kes di hadapan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som dibuat hari ini sebelum tarikh itu diputuskan dan akan didengari di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, Najib melalui pasukan perundangannya telah menghantar notis permohonan pada 15 Januari lepas.
“Permohonan itu telah dilakukan selepas pendedahan oleh SPRM melalui Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dengan media baru-baru ini.
“Mahkamah juga telah menetapkan 6 Februari depan kepada kita selaku responden untuk memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam permohonan Ahli Parlimen Pekan itu mahu perintah mahkamah untuk memberi kebenaran kepadanya untuk memeriksa salinan sebenar rakaman audio yang dimainkan oleh SPRM baru-baru ini.
Pada 8 Januari lepas, SPRM memainkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa menjadi perdana menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun tindakan itu juga telah mengundang pelbagai persepsi dan rata-rata pihak termasuk Najib sendiri terkejut dengan rakaman yang sama.
“Ianya rakaman ketika saya masih lagi sitting prime minister. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.
Latheefa pada sidang media itu sebelum itu berkata, semua rakaman percakapan yang didedahkan SPRM didakwa berlaku pada 2016, dan hasil siasatan setakat ini mendapati ia adalah tulen.
Latheefa berkata, perbincangan antara individu dalam rakaman itu menunjukkan wujud elemen konspirasi jenayah, pecah amanah, salah guna kuasa, pendedahan maklumat sulit kerajaan, cubaan memalsukan bukti dan ancaman keselamatan negara. –MalaysiaGazette
Rakaman audio: Bukankah itu kesalahan besar dilakukan oleh Latheefa? – Shafee