Home Nasional Larangan kenderaan berat di jalan raya sempena Tahun Baharu Cina

Larangan kenderaan berat di jalan raya sempena Tahun Baharu Cina

Shaharuddin Khalid
Datuk Seri Shaharuddin Khalid. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2018

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan arahan larangan pemanduan kenderaan berat di jalan raya sempena Tahun Baharu Cina ini, yang akan dilaksanakan pada 23, 24, 27 dan 28 Januari, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid hari ini.

Dalam sidang media di sini hari ini selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga JPJ, beliau berkata larangan itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan operasi Tahun Baharu Cina yang bermula sejak 18 Jan lepas dan akan berakhir 2 Februari ini, melibatkan seramai 2,200 anggota JPJ.

Menurut notis yang dikeluarkan, larangan itu melibatkan tiga kategori iaitu sepanjang masa; 12 tengah malam-8 pagi; dan 6 petang-6 pagi dalam jarak 25 kilometer dari tapak binaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

Bagi kategori sepanjang masa, ia melibatkan lori pembawa kenderaan, trak tunda ketika tidak menunda kenderaan motor dan lori jongket (tipper) yang berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kilogram, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda dan traktor.

Turut termasuk dalam kategori itu ialah lori pengangkutan simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan yang lain, amang, bijih timah, arang batu dan bahan galian lain.

Bagi kategori 12 tengah malam hingga 8 pagi, larangan itu melibatkan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri yang sama dan sebaliknya.

Kategori itu juga melibatkan lori mengangkut barangan elektronik atau elektrik atau bahan industri dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dan sebaliknya, serta lori kargo tanpa muatan yang dalam perjalanan pulang.

Bagi kategori 6 petang-6 pagi dalam jarak 25 kilometer dari tapak binaan, tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu adalah melibatkan kren bergerak dan lori pembancuh simen.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, penguatkuasaan secara advokasi juga akan dilaksanakan sepanjang tempoh operasi Tahun Baharu Cina kepada ibubapa mengenai keperluan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

“Penguatkuasaan CRS mulai 1 Jan lalu tetapi ia lebih kepada advokasi dan khidmat nasihat kepada pengguna jalan raya yang membawa kanak-kanak. Pemantauan ini akan berterusan sehingga ke Jun ini,” katanya.

Shaharuddin berkata, JPJ juga melaksanakan pemeriksaan di 75 depoh bas di seluruh negara untuk melihat keadaan bas serta membuat saringan terhadap pemandu bas.

Dalam operasi yang bermula 18 Januari lalu, katanya anggota JPJ ditempatkan di 25 terminal bas dan bekerjasama dengan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk membuat saringan dengan pemandu bas.

“Sehingga kini ada satu kes di Larkin (Johor) di mana pemandu tidak dibenar membawa bus kerana saringan air kencing positif dadah,” katanya.

Menurutnya, anggota JPJ juga akan menyamar sebagai penumpang di dalam bas ekspress untuk memerhatikan tingkah laku pemandu sepanjang perjalanan, di mana sekiranya kesalahan dikesan, saman akan dikeluarkan terhadap pemandu sebaik tiba di destinasi yang dituju.

Mengenai Ops Tahun Baharu Cina pula, Shaharuddin berkata, sehingga semalam (22 Jan), 15,876 kereta telah diperiksa, yang menyaksikan 1,920 kereta diambil tindakan manakala 2,516 notis telah dikeluarkan, 15 kenderaan disita, dan 2,500 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Sementara itu Shaharuddin berkata, JPJ merupakan antara agensi dengan kutipan hasil negara tinggi dengan RM4.32 bilion berjaya dikutip sehingga 31 Dis lepas, iaitu peningkatan 1.98 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan menurutnya 68 peratus daripada hasil itu dijana oleh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan kutipan sebanyak 2.97 billion. – Bernama