KUALA LUMPUR – Memandangkan tempat kerja juga menjadi risiko untuk pendedahan kepada pelbagai jenis penyakit berjangkit, menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta mewujudkan suasana tempat kerja yang selamat dan sihat.
Pekerja juga bertanggungjawab memberi kerjasama dalam mematuhi arahan atau langkah-langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan, bagi melindungi diri mereka serta orang lain, kata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Niosh).
Ia susulan wabak koronavirus yang dilaporkan di Wuhan, China yang telah tersebar di Thailand.
Sehubungan itu, kata Niosh, langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini di negara ini.
Antara langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan virus seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah:
1. Menutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan.
2. Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk dan bersin.
3. Jika anda tidak sihat, pakai penutup mulut dan hidung (face mask) apabila berurusan dengan orang lain dan hadkan pergaulan anda dengan orang sekeliling.
4. Elakkan juga berkongsi hidangan, peralatan untuk makan, perkakas dapur serta tuala.
Jika terdapat pekerja yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sukar bernafas, sakit dada, selsema serta sakit tekak, dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan perubatan. – MalaysiaGazette