KUALA LUMPUR – Kontrak Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group Berhad yang tamat tempoh pada 2 Mac ini dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.
Dalam notis kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata, lembaga pengarah syarikat itu telah meminta Jamaludin melanjutkan kontraknya sehingga akhir tahun 2020 bagi memastikan perubahan kepimpinan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Selepas menerajui Axiata selama empat penggal dan memegang peranan kanan dalam industri telekomunikasi dan teknologi maklumat dan komunikasi selama 39 tahun, Jamaludin telah memaklumkan keputusannya untuk bersara.
“Bagaimanapun, lembaga pengarah meminta Jamaludin untuk melanjutkan kontraknya dan meneruskannya sehingga akhir tahun 2020 untuk memastikan peralihan kepimpinan yang lancar dan berjaya,” kata Axiata.
Susulan itu, Axiata turut mengumumkan Datuk Mohd Izzaddin Idris sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan bakal Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 24 Januari.
Izzaddin, bekas Pengarah Urusan UEM Group adalah ahli lembaga pengarah Axiata dan dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif Axiata.
Beliau berada dalam Lembaga Pengarah Axiata sejak 2016.
Sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Izzaddin akan mengawasi fungsi korporat utama, iaitu kewangan, strategi, pemasaran, hal ehwal korporat dan kawasan kritikal keselamatan siber, privasi dan kepercayaan dan etika pematuhan. – MalaysiaGazette