KUALA LUMPUR – Pengacara, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman dimasukkan ke hospital UiTM, Sungai Buloh pada 19 Januari lalu akibat kekurangan oksigen pada jantung.
Penyanyi, Hattan berkesempatan melawat Bob yang menghidapi penyakit buah pinggang berkata, rakannya itu mendapat alahan selepas mengambil ubat.
“Assalam sahabat sahabat..setengah daripada perjalanan seni dan kehidupan saya bersama dengan penulis lirik hebat ini….ya Allah ya Tuhan ku..berikan lah kesembuhan segera pada sahabat ku ini..saudara ku bob lokman,” tulisnya di laman Facebook miliknya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Pas pusat, Dr Riduan Mohd Noor melalui hantarannya di Facebook turut berkongsikan keadaan kesihatan Bob.
Bob sebelum ini pernah menyertai Pas dan bergiat aktif dalam parti itu.
Kata Riduan, Bob yang sedang mengikuti aktiviti jelajah kuliah di Terengganu sepanjang minggu ini dimasukkan ke hospital akibat mengalami masalah buah pinggang.
“Minggu ni dalam jadual padat jerayawara (road show) di Terengganu, jasadnya sangat lemah dan dibawa ke hospital UiTM, Sungai Buloh oleh rakan-rakan Pejabat Menteri Besar Terengganu.
“Menteri Besar Terengganu pernah menaja penginapan bilik Bob selama sebulan di Terengganu supaya mudah untuknya berdakwah,” katanya.
Bob yang pernah menulis lirik antaranya Isabella, Rendang Tak Berbuah dan Pada Syurga Di Wajahmu juga terpaksa mengambil 15 jenis ubat-ubatan dengan kos dianggarkan melebih RM1,000 setiap bulan.
Sebelum ini dilaporkan Bob meneruskan kelangsungan hidup dengan membuka kedai makan sambil dibantu isteri dan arwah anak sulungnya, Mohamad Adam.
Namun ekoran masalah kesihatan yang dihadapi oleh Bob, perniagaan yang diusahakan itu terpaksa ditutup. – MalaysiaGazette