KUALA LUMPUR – Sebagai inisiatif baharu tahun 2020, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah mengeluarkan panduan yang dikenali sebagai Taxpayer Roadmap LHDNM yang bertujuan memberi panduan umum berkenaan pentadbiran cukai pendapatan di LHDNM.
Taxpayer Roadmap ini telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia semasa Persidangan Pengarah-Pengarah Bil 1/2020 yang berlangsung pada 13 Januari lalu.
LHDNM berkata, Taxpayer Roadmap itu mengandungi ringkasan prosedur dan proses kerja di LHDNM ini merangkumi aspek undang-undang percukaian, proses audit dan siasatan serta prosedur rayuan, pungutan dan litigasi percukaian.
Ia dibangunkan bagi memberi jaminan serta meningkatkan kepercayaan pembayar cukai terhadap ketelusan setiap tindakan yang diambil oleh LHDNM.
Taxpayer Roadmap LHDNM ini turut membantu setiap pegawai LHDNM mengetahui parameter dan hubungan tugas mereka dengan pegawai yang lain dan seterusnya memudahkan pemantauan status pelaksanaan tugasan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan.
​Selain akan dipaparkan di kaunter-kaunter perkhidmatan LHDNM, Taxpayer Roadmap LHDNM ini turut boleh diakses dan dimuat turun dengan mengikut langkah mudah seperti yang berikut :
I. Layari laman Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my
II. Klik Pengumuman dan muat turun IRBM Taxpayer Roadmap
III. Atau capaian pantas di pautan: http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=5&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_unit=5000&bt_sequ=2&bt_lgv=1 – MalaysiaGazette