Home Nasional Tiada istilah ayahanda kongsi gelap – MPAM

Tiada istilah ayahanda kongsi gelap – MPAM

Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia, Yahya Long Ali (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan gelaran ayahanda disalahgunakan untuk mengetuai kumpulan samseng dan terlibat dengan gejala tidak sihat.

Ketua Sekretariatnya, Yahya Long Ali menegaskan, dakwaan itu hanya satu persepsi buruk semata-mata kerana golongan itu berdaftar sebagai badan bukan kerajaan (NGO) secara sah.

“Tiada istilah ayahanda kongsi gelap kerana undang-undang di negara ini tidak membenarkan mana-mana kumpulan kongsi gelap didaftarkan.

“Pertubuhan kami tertakluk kepada undang-undang tubuh dan Perlembagan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan serta melalui Kementerian Dalam Negeri sebelum diluluskan,” katanya dalam satu sidang media di Restoran NZ Curry House hari ini.

Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM)
Lebih 10 orang ayahanda pada sidang media Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM) di Restoran NZ Curry House, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Yahya juga memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak memburukkan imej ayahanda sedangkan mereka adalah pejuang Islam dan Melayu.

“Jangan cuba memburuk atau melemahkan semangat pemimpin Melayu Islam serta institusi ayahanda ini,” katanya.

Katanya lagi, bagi tujuan memperkukuhkan MPAM, pihaknya bercadang untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan khusus Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam masa terdekat.

“Walaupun MPAM baru diwujudkan, kami akan membuat kunjung hormat kepada pihak kerajaan, kementerian serta pelbagai jabatan kerajaan.

“Kami juga merancang untuk mendapat sokongan daripada pihak Istana bagi menyokong MPAM ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette