DENGKIL – Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia menetapkan sasaran 20 peratus penurunan kes kemalangan pada Ops Selamat Tahun Baru Cina 2020 yang dilancarkan hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, angka itu adalah lebih tinggi berbanding musim lalu iaitu sebanyak 16 peratus pengurangan kemalangan dicapai pasukan bomba.
Teks Zuraida dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid pada pelancaran Ops Selamat hari ini.
Zuraida juga menekankan bahawa pelaksanaan Ops Selamat secara bersepadu bersama rakan penguat kuasa strategik dan PBT bermula 18 hingga 2 Februari ini.
Kata Zuraida, sepanjang tempoh berkenaan jabatan bomba telah menjadualkan pasukan responders lengkap dnegan aset pemadaman dan penyelamatan serta unit EMRS dengan kekuatan keanggotaan yang optima untuk melakukan rondaan dan pemantauan di 15 lokasi strategik di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) dan LPT II.
“Bertemakan elak kemalangan, cegah kebakaran, Jabatan bomba akan memfokuskan setiap pengguna jalan raya dan komuniti di sepanjang laluan berkenaan diberi perlindungan keselamatan kebakaran dan kemalangan secara berkesan dan respon penyelamatan yang pantas.
“Ia termasuklah beberapa aktiviti dilaksanakan dan diterjemahkan melalui modul dan penyebaran makluamt kepada awam termasuk aktiviti pencegahan iaitu pameran dan demo aspek keselamatan di Rumah Rehat dan Rawat terpilih sepanjang PLUS.
“Anggota bomba bersama pasukan bantuan akan bertugas 24 jam mengikut penugasan secara bergilir yang ditetapkan melibatkan 315 buah balai di seluruh negara,” kata Zuraida.
Bercakap kemudian dalam sidang media selepas gimik pelancaran Ops Selamat, Mohamad Hamdan berkata, cuti pegawai dan anggota seramai 80 peratus telah dibekukan melibatkan 11,000 orang dan mereka bersiap sedia bertugas sepanjang musim ini manakala hanya 20 peratus dibenarkan bercuti.
Justeru katanya, sebanyak 315 balai bomba akan beroperasi serentak sepanjang tempoh Ops Selamat melibatkan 11,000 anggota dengan segala aset yang diaktifkan.
“Kita juga akan melaksanakan rondaan badan air yang dianggap kawasan berisiko tinggi di 15 lokasi dan 39 lokasi berisiko sederhana yang mana badan badan air yang kami telah kenal pasti ini mempunyai topografi yang boleh membawa bahaya sekiranya pengawasan di atas aktiviti air orang awam tak dijaga dan dipantau baik.
“Jadi rondaan, nasihat dan papan tanda telah dipasang anggota bomba kami di kawsan-kawasan tersebut dengan kerjasama PBT.
“Kesemua 15 lokasi berisiko tinggi kemalangan yang dikenalpasti itu adalah dibeberapa negeri tertentu yang mna melibatkan sesuatu lokasi berlaku lebih lima insiden kemalangan maut di satu-satu tempat dalam masa dua tahun lalu sementara risiko sederhana ialah kurang daripada lima insiden kematian,” tegasnya.-MalaysiaGazette