Home Nasional Lebih RM42 juta bayaran saman dikutip dalam tempoh lima hari

Lebih RM42 juta bayaran saman dikutip dalam tempoh lima hari

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

KUALA LUMPUR – Lebih RM42 juta bayaran saman trafik berjaya dikutip menerusi pembayaran secara dalam talian dengan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus dalam tempoh lima hari bermula 18 Jan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata menerusi kempen itu, 402,714 saman dijelaskan oleh pesalah trafik dengan saman memandu melebihi had laju mencatatkan jumlah tertinggi dijelaskan iaitu sebanyak 64.8 peratus.

”Pelaksanaan diskaun 50 peratus menerusi kaedah e-pembayaran menerima sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada warga tempatan tetapi juga warga asing yang ingin menjelaskan saman trafik.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 1,712 saman trafik turut dijelaskan oleh warga Singapura,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Pada hari pertama kempen itu sahaja, katanya sejumlah 77,252 saman dijelaskan melibatkan nilai bayaran sebanyak RM8 juta.

Bagaimanapun katanya, terdapat lebih 57 juta saman belum dijelaskan oleh pesalah trafik melibatkan pelbagai kesalahan sejak 2009 hingga tahun lepas.

Katanya jika saman itu dijelaskan oleh pesalah trafik, ia dapat membantu kerajaan kerana jumlah kutipannya dianggar mencecah berbilion ringgit.

Sementara itu dalam tempoh enam hari Op Selamat 16/2020 bersempena Tahun Baharu Cina yang dilancarkan sejak Sabtu lepas hingga semalam, Azisman berkata sebanyak 10,323 kes kemalangan jalan raya membabitkan 15,888 kenderaan direkodkan.

Katanya ia turut melibatkan 82 kes kemalangan maut yang mengakibatkan 86 kematian.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Jan sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Feb ini.- BERNAMA