KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa percaya kredibliti dan pengalaman yang dimiliki oleh Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Hamidin Mohd. Amin akan memastikan isu penajaan dan hak penyiaran bakal dimuktamadkan sebelum bermulanya Liga Malaysia, 28 Februari ini.
Nokman juga meminta semua rakan kongsi liga tidak terlalu memberi tekanan kepada MFL memandangkan Hamidin baharu sahaja mengambil alih pentadbiran pada September lalu selain mengakui banyak cabaran perlu diharungi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu pada waktu ini.
Namun berdasarkan trek rekod cemerlang Hamidin dalam menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selama hampir dua tahun, Nokman berasakan segala janji yang dibuat Hamidin akan ditunaikan.
“Saya memang yakin dengan Datuk Hamidin sejak mengambil alih tampuk MFL ini kerana saya sudah mengenali beliau cukup lama dan saya tahu, apa yang beliau janji, pasti akan dikotakan.
“Rakan kongsi juga kena bersabar kerana Hamidin baru sahaja masuk ke MFL pada tahun lepas, beliau masih baharu lagi tetapi saya tahu beliau boleh buat (dapatkan penaja utama), kita boleh lihat di FAM telah banyak benda baik dilakukan untuk bola sepak negara.
“Semua pihak jangan terlalu menekan dan kerana penajaan ini bukan senang dalam keadaan sekarang, kalau ditekan nanti, lagi jadi satu masalah kepada semua.
“Berapa kita akan dapat nanti (jumlah hak penyiaran) tidak jadi satu masalah tetapi kita kena terima sebab beliau telah buat yang terbaik kepada semua rakan kongsi, “ katanya.
Hamidin pada Majlis Pelancaran Liga Malaysia 2020, 15 Januari lalu menyatakan penaja utama dan hak penyiaran Liga Malaysia akan dimuktamadkan pada awal Februari depan dengan MFL kini dalam proses terakhir rundingan bersama pihak-pihak yang berkenaan.
Perkara sama turut disokong Setiausaha Agung Felda United Football Club (FUFC), Afizal Abu Othman yang mengakui MFL dalam proses melakukan kebangkitan selepas banyak cabaran yang dilalui sepanjang musim 2019.
Tambahnya, Felda sebagai rakan kongsi akan sentiasa berusaha membantu MFL mempamerkan aspek positif mengenai Liga Malaysia agar mampu menarik lebih ramai penaja mendekati Liga Malaysia.
“Pengumuman dalam masa terdekat ini adalah satu perkembangan yang positif kerana bukan mudah hendak menarik penaja-penaja dan saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Hamidin yang berusaha bersungguh-sungguh.
“Banyak cabaran yang berlaku tahun lalu dan Felda United memahami kesukaran dialami MFL, malah saya rasa semua rakan kongsi juga bersedia membantu jika diperlukan.
“Mengenai hak penyiaran, saya juga harap siaran langsung akan turut disiarkan di saluran televisyen juga agar turut meliputi semua masyarakat serta komuniti dan secara tidak langsung menarik lebih banyak penaja, ” katanya. – MalaysiaGazette