Home Nasional Negara harus berhati-hati, gesa kawalan lebih ketat – Anwar

Negara harus berhati-hati, gesa kawalan lebih ketat – Anwar

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak agar mengambil langkah berhati-hati dengan penularan virus koronavirus.

Biar pun terkawal, namun beliau menggesa agar kawalan ketat terus dijalankan di semua pintu masuk negara terutamanya di lapangan terbang negara.

“Setakat ini terkawal, tapi kita harus berhati-hati oleh kerana sudah dikesan kes itu di negara ini seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan, saya minta supaya pengawalan imigresen dan kesihatan untuk lebih ketat terutamanya pengujung dari China.

“(Mereka) tidak boleh diberikan kelonggaran seperti biasa untuk tujuan keselamatan penduduk,” katanya kepada media dalam satu acara di Teluk Kemang, hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad hari ini yang berkata ujian pengesanan dan pengesahan melibatkan tiga individu itu diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam adalah positif.

Dzulkefly berkata tiga pesakit itu mempunyai kaitan dengan bapa dan anak dari Wuhan, China, yang telah disahkan positif dengan virus itu di Singapura tiga hari lalu.

Untuk rekod, angka korban wabak coronavirus di China dilaporkan mencecah 41 orang, dengan 1,300 orang dijangkiti virus itu di seluruh dunia. -MalaysiaGazette