KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan apa yang menghalang Kerajaan Malaysia untuk menggantung pengecualian visa warga China bagi tempoh munasabah susulan penularan wabak koronovirus.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Kerajaan China sudah membuat keputusan menghalang warga mereka untuk melancong ke luar negara bermula esok.
Menurut beliau, pendekatan China itu sedikit sebanyak akan redakan kebimbangan rakyat Malaysia yang kecewa dengan langkah kurang bijak kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak gantung pengecualian visa untuk warga China.
“Kini, kerajaan China sendiri sudah gantungkan pelancongan ke luar negara.
“Jadi, apa yang masih menghalang kerajaan Malaysia untuk gantung pengecualian visa warga China bagi satu tempoh yang munasabah?,” soalnya.
Semalam,Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, visa 15 hari yang diperuntuk kerajaan kepada pelancong China ke negara ini akan diteruskan.
Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan China juga sekarang ini tidak menggalakkan rakyat mereka keluar masuk ke negara lain bagi mencegah penyakit itu merebak. – MalaysiaGazette