SHAH ALAM – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi bahagian parti itu di Titiwangsa.
Bagaimanapun, Rina berkata, beliau akan menghantar borang pencalonan bagi bahagian Bersatu Sepang.
“Kamu (wartawan) tunggu petang ini, saya belum hantar borang lagi. (Masih) dalam perancangan, petang nanti baru saya nak keluar (hantar borang pencalonan).
“Saya orang Sepang, memang asal dari Sepang, ibubapa saya pun orang Sepang, memang asal usul saya di Sepang,” kata Rina yang diminta mengulas bila beliau akan menghantar borang pencalonan bagi bahagian Bersatu Sepang.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Nak Ubah Hidup (NUH) 2020 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), hari ini.
Rina bagaimanapun tidak menjelaskan jawatan apa yang hendak ditandinginya.
“Bertanding (bagi jawatan) Ketua bahagian? Tidak, kita tunggu petang ini,” jelas beliau.
Ditanya mengapa tidak bertanding di Titiwangsa kerana beliau merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina berkata; “Kalau di Titiwangsa, biar ada orang (pegawai) jaga, jadi kita sama-sama saling bekerjasama antara satu kawasan dengan kawasan lain.
“Dulu saya Ketua Puteri UMNO bahagian Sepang,” katanya lagi.
Proses pencalonan bagi Pemilihan Bersatu bermula hari ini di 189 bahagian di seluruh negara.
Ia disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Februari sehingga 29 Mac, dengan mesyuarat di peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April.
Perhimpunan Agung Bersatu pula akan diadakan selama empat hari bermula 25 Jun hingga 28 Jun ini yang turut akan menjalankan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan berlangsung. – MalaysiaGazette