SEATTLE – Boeing Co berjaya melancarkan penerbangan pertama pesawat enjin berkembar terbesar di dunia walaupun sedang dilanda krisis dengan model 737 Max.
Model 777X dengan 252 kaki panjang, adalah versi pesawat yang lebih besar daripada 777 mini-jumbo, tiba di Lapangan Terbang Boeing di luar Seattle pada jam 2 petang (2200 GMT) selepas melakukan penampilan sulungnya hampir empat jam.
“Ia adalah hari yang membanggakan kami.
“777 menyebabkan kakitangan kami teruja apabila sekali lagi berupaya menerbangkan pesawat baharu,” kata Ketua Eksekutif pesawat komersial Boeing, Stan Deal.
Pesawat ini lebih besar daripada dua versi lain yang dirancang Boeing.
Ia akan dikenali secara rasmi sebagai 777-9, walaupun lebih sesuai menggunakan nama kod pembinaannya, 777X.
Ciri-ciri utamanya termasuk lipatan sayap – direka untuk membolehkan sayap karbonnya disesuaikan dengan tempat letak pesawat yang sama seperti model terdahulu – dan enjin komersial terbesar dunia dari General Electric, cukup besar untuk mengatasi 737 Max.
Dalam mengintai peluang jualan, pesawat 777X dengan 406 tempat duduk ini perlu mengatasi rintangan daripada pengawal selia dan pembeli.
777X akan menjadi pesawat utama pertama yang akan disahkan selepas berlaku kecacatan pada perisian hingga mengakibatkan dua nahas membabitkan 737 Max.
Tragedi itu menyebabkan Boeing dipantau secara ketat oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
FAA telah berjanji untuk memastikan ujian 777X dilakukan dengan ketat, manakala Emirates mahu pesawat itu dipastikan selamat dan memenuhi jangkaan prestasi.
Ketua Juruterbang Ujian Boeing berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pengawas selia.
“Kami akan mematuhi proses normal yang selalu kami ikuti dan bekerjasama dengan FAA dan mereka juga akan sama-sama secara rapat dengan kami.
“Kami mengambil masa untuk memastikan pesawat ini bersedia untuk ujian penerbangan, jadi saya berpendapat kami akan melalui kejayaan dalam ujian-ujian penerbangan dan segera mendapat pengesahan standard FAA,” kata Craig Bomben.
Pesawat 777X dijangka beroperasi pada tahun 2021, lewat setahun berbanding perancangan awal disebabkan masalah pembinaan.
Boeing berkata, ia telah menjual sebanyak 309 buah 77X bernilai AS$442 juta setiap sebuah.
Namun pakar-pakar penerbangan bimbang terhadap permintaan pesawat berbadan besar atas faktor lebihan kapasiti dan kelembapan ekonomi.
Ia kerana, syarikat-syarikat penerbangan telah membatalkan lebih dua kali ganda jet besar daripada pesawat-pesawat yang tempah pada tahun lalu, kata Rob Morris, Ketua Perunding Ascend by Cirium yang berpangkalan di United Kingdom.
Selain itu banyak pihak turut mempersoalkan kebergantungan Boeing dengan syarikat-syarikat penerbangan Timur Tengah yang sudah pun menarik balik tempahan sebelum ini. – MalaysiaGazette
kenapa tak buat sayap boleh simpan kat badan macam burung. daripada lipat2 nanti patah pelipat pula masa terbang.