Home Utama Koronavirus: TPM gesa jangan cetus situasi panik

Koronavirus: TPM gesa jangan cetus situasi panik

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan azizah Wan Ismail menunjukkan bahan pencuci tangan pada mesyuarat berkenaan insiden Clusternovel Koronavirus di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan rakyat di negara ini untuk tidak panik dengan 4 kes koronavirus yang melanda negara kini.

Wan Azizah turut mengklasifikasikan kes koronavirus virus itu hanyalah sebagai kluster dan bukannya wabak.

Ia berdasarkan kepada penerangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Di China ia dikategorikan sebagai wabak tapi di negara ini ia dikenali sebagai satu kluster. Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas dengan kluster penyakit kluster virus yang telah dikesan di Wuhan, China yang kini merebak ke seluruh kepada 14 negara, dimana dilaporkan 4 kes positif di Malaysia.

“Penyakit ini terkawal, jadi kita tidak mahu panik dan keadaan masih terkawal,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Koronavirus (2019-nCoV), di pejabatnya, hari ini.

Mesyuarat diadakan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mesyuarat itu diadakan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Wan Azizah berkata, empat kes yang dicatatkan di negara ini tidak mempunyai simptom apa-apa.

“Walaupun mereka positif, mereka sihat dan stabil. 23 kes sudah disahkan negatif dan masih terdapat empat kes yang masih menunggu keputusan makmal,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut menggariskan beberapa cadangan yang difikirkan wajar untuk menangani penularan virus ini.

Antaranya, mengetatkan kawalan pintu masuk termasuk semua penumpang penerbangan dari China termasuk warganegara Malaysia wajib melalui saringan kesihatan perinci.

Mesyuarat juga menasihatkan semua rakyat Malaysia yang telah melawat atau pulang bercuti dari Wuhan dan mengalami simptom, diminta melaporkan diri segera ke hospital terdekat bagi pemeriksaan kesihatan.

“Semua rakyat Malaysia dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan ke Wuhan.

“Orang ramai turut diingatkan untukĀ  mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer); serta segera mendapatkan bantuan pihak hospital sekiranya mengalami simptom,” katanya.

Pihak hospital swasta juga diminta melaporkan segera kepada KKM bagi mana-mana kes penyakit berjangkit.

Malah semua pihak dinasihatkan agar tidak mengambil peluang untuk menimbulkan ketidaktenteraman dengan menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak pasti.

Setakat ini Kerajaan China telah menyekat penerbangan antarabangsa komersil keluar/masuk dari Wuhan dan tidak membenarkan pakej pelancongan secara berkumpulan bagi warga negaranya ke luar negara bermula 23 Januari lalu. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Koronavirus: Presiden China beri amaran situasi sangat serius – Sinar Harian!

    Kerajaan China sangat serius, kita biashe2… ok la tu!

    Ingat bende2 hand sanitizer ni murah ke?

Comments are closed.