Home Nasional Kanak-kanak dua tahun maut dipercayai ditikam bapa saudara

Kanak-kanak dua tahun maut dipercayai ditikam bapa saudara

Seorang wanita tampil membuat laporan polis selepas sepupunya terlantar di Hospital Tawau, dipercayai akibat ditikam dan dipukul di kawasan antara Lorong Jalan Merdeka 3 dan bank CIMB di Fajar di sini, awal pagi tadi.
Gambar hiasan.

KEMAMAN – Seorang kanak-kanak perempuan maut dipercayai ditikam bapa saudaranya di Felda Cerul 2 di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa, Nur Hafiya Aufa Mohd Taquddin, 2, ditikam di bahagian dada oleh Mohd Safuan Ramli, 26, ketika mangsa sedang bermain di dalam rumah kira-kira pada pukul 1 tengah hari.

“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh sebelum disahkan meninggal dunia. Mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan dikatakan tinggal bersama datuk dan neneknya di rumah yang sama dengan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hanyan, suspek kemudiannya berjaya ditangkap oleh jiran di kawasan berdekatan rumah mereka pada pukul 1.30 tengah hari dan diserahkan kepada polis.

“Suspek sebelum ini pernah mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan pihak polis tidak menolak kemungkinan ketika kejadian suspek berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA