KUALA LUMPUR – Belian ekuiti tempatan oleh pelabur asing di Bursa Malaysia menyusut minggu lalu kepada RM29.4 juta berbanding RM320.9 juta minggu sebelumnya.
MIDF Amanah Investment Bank Berhad Research (MIDF Research) berkata, bursa menyaksikan pengeluaran sebanyak RM47.5 juta pada hari Isnin disebabkan pergolakan politik di Libya.
Bagaimanapun, aktiviti jualan itu pendek apabila pelabur asing kembali ke bursa dan membeli sebanyak RM49 juta ekuiti pada hari Selasa.
Momentum aktiviti belian meningkat pada hari Rabu dengan jumlah RM60.6 juta selepas Bank Negara Malaysia mengumumkan penurunan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% untuk menyokong pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.
Firma penyelidikan itu menambah, pelabur-pelabur luar pesisir kemudian menjual sebanyak RM38.5 juta pada hari Khamis berikutan peningkatan kebimbangan wabak koronavirus.
Sebelum bursa ditutup untuk cuti panjang, sebanyak RM5.9 juta aliran masuk di bursa pada hari Jumaat.
Dengan satu minggu baki sebelum Januari berakhir Januari 2020 Bursa Malaysia menyaksikan aliran masuk bersih asing sebanyak RM521.4 juta, kata MIDF Research.
Dalam tiga negara ASEAN yang dijejaki oleh MIDF Research, Malaysia menyaksikan kemasukan aliran masuk pelabur asing yang terendah tahun ke tahun selepas Indonesia.
Manakala Thailand dan Filipina pula merekodkan aliran keluar pelabur asing.
Tambahnya, dalam penyertaan pula, nilai purata dagangan harian pelabur asing merosot sebanyak 24.4% tahun ke tahun sepanjang minggu, satu-satunya penurunan dalam kalangan kumpulan pelabur.
Di samping itu, ADTV masih berada di bawah paras sihat RM1 bilion kepada RM674.6 juta, ujar firma itu. – MalaysiaGazette