KUALA LUMPUR – Seorang pemandu mengalami cedera apabila kereta yang dipandu terbabas dalam satu kemalangan di Jalan Tun Razak, pagi ini.
Jabatan Bomba dan penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian berlaku pukul 6.35 pagi tadi melibatkan kereta jenis Proton Savvy.
Katanya, pemandu kenderaan tersebut telah melanggar pembahagi jalan menyebabkan kereta yang dipandu terbalik.
“Mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba,” katanya.
Tambah beliau, seramai lima anggota dari Balai Bomba Jalan Tun Razak digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
Ujarnya, anggota bomba kemudiannya melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di atas jalan raya dan mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan. – MalaysiaGazette