KUALA LUMPUR – Penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia yang baru tiba di Xian, China hari ini dikuarantin selepas salah seorang penumpang disyaki mengalami simptom koronavirus.
Berikutan itu, anak-anak kapal dijangka dikuarantin selama sehari.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun.
Dua hari lalu, sebuah pesawat AirAsia ke Jinjiang, China juga dikuarantin selepas pemeriksaan yang dibuat mendapati ada penumpang yang disyaki terkena jangkitan virus berkenaan.
Tetapi, Kamarudin berkata, pesawat dan anak kapal itu sudah pun dilepaskan.
Difahamkan, pemeriksaan dan saringan kesihatan para penumpang pesawat di lapangan-lapangan terbang dijalankan di dalam pesawat sebaik sahaja enjin kapal terbang dihentikan.
Saringan itu dibuat memastikan setiap penumpang tidak memberi risiko kepada orang lain ketika bergerak keluar ke terminal lapangan terbang.
Semalam, Airasia Bhd memaklumkan telah melanjutkan pengantungan semua penerbangannya dari dan ke Wuhan China sehingga jam 11 malam 28 Januari 2020 (pada 1500 GMT+8).
Syarikat penerbangan tambang murah itu juga membenarkan penumpang yang telah menempah tiket dari semua destinasi di tanah besar China untuk mengekalkan akaun kredit atau dipulangkan wang sepenuhnya. – MalaysiaGazette