Home Politik Selepas serah surat tunjuk sebab, Zuraida jalankan tugas seperti biasa

Selepas serah surat tunjuk sebab, Zuraida jalankan tugas seperti biasa

Setiausaha Politik Zuraida Kamarudin, Nor Hizwan Ahmad

PETALING JAYA – Biar pun didesak melepaskan jawatan oleh beberapa kumpulan dan diarah menjawab surat surat tunjuk sebab kerana mengkritik kepimpinan parti, namun Zuraida Kamaruddin akan terus menjalankan tugas sebagai Naib Presiden PKR.

Malah, beliau juga akan terus memikul tanggungjawab sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kata Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad.

Hizwan yang hadir menyerahkan surat jawapan di ibu pejabat PKR berkata, Zuraida telah menjawab tiga soalan utama yang dikemukakan oleh Lembaga Displin dalam surat yang telah diserahkan sebelum ihi.

“Boleh saya katakan bahawa Zuraida boleh menjawab dengan tenang segala soalan berkaitan ucapan beliau termasuk pada makan malam di Renaissance.

“Beliau berkata benar dan sebagai Naib Presiden yang dipilih, beliau mengambil tanggungjawab menjawab surat tersebut,” katanya kepada wartawan selepas menyerahkan surat jawapan Zuraida kepada Lembaga Disiplin.

Beliau memberitahu surat tersebut diterima oleh Mr Goh manakala Datuk Ahmad Kasim yang merupakan Pengerusi Lembagai Disiplin pula di luar kawasan.

Menurut Hizwan, terpulang penilaian Lembaga Disiplin untuk menentukan proses seterusnya.

Beliau berkata, pihaknya tidak dimaklumkan tempoh masa yang diperlukan oleh Lembaga Displin untuk meneliti surat balas tersebut.

Untuk rekod, hari ini adalah hari terakhir bagi Zuraida menjawab surat yang bertarikh 15 Januari lalu.

Ditanya mengapa pihak Zuraida mengambil masa saat-saat akhir untuk mengemukakan surat tunjuk sebab, Hizwan berkata, pihaknya terpaksa meneliti segala soalan dan sub soalan yang dikemukakan oleh Lembaga Displin sebelum membuat surat balas.

“Kita perlu teliti sebab persoalannya panjang, ada tiga soalan dan sub soalan. Jadi kita ambil masa untuk jawab surat berkenaan dan ditulis sendiri oleh Zuraida setelah kita teliti pertuduhan dan selesai menjawab surat berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette