Home Ekonomi SMEs Global, SCIP tingkat akses pembiayaan, pasaran PKS

SMEs Global, SCIP tingkat akses pembiayaan, pasaran PKS

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Program "SMEs Go Global" dan "SME Co-Investment Partners" (SCIP) dan Majls Pertukaran "Memorandum of Collaboration" dengan Huawei Malaysia di Dewan Mahkota, SME Corp Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR –  Program SMEs Global dan SME Co- Investment Partner (SCIP) yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bertujuan meningkatkan akses PKS tempatan kepada pembiayaan dan pasaran.

Usaha kementerian itu untuk memperkasakan lagi bantuan dan sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama  2030 di bawah Teras Ekosistem Perniagaan dan Industri.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, penganjuran program ini bagi memastikan PKS menyumbang 50% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030, yang bertujuan meningkatkan lagi akses kepada pembiayaan, membangunkan sistem inklusif kewangan holistik untuk PKS, selain menyediakan fasilitasi ke arah inovasi dan pendigitalan serta pengantarabangsaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di SME Corp Malaysia hari ini.

Jelasnya, dengan memperkenalkan SCIP, sebanyak RM15 juta dana disediakan untuk meningkatkan pelaburan di peringkat awal perniagaan.

“SCIP juga membolehkan pelabur swasta melabur pada PKS,” katanya lagi.

Sehingga kini katanya, empat firma pengurusan dana telah disenarai pendek sebagai Rakan Kongsi Pelaburan di bawah kedua-dua program ini.

“Saya berharap kerjasama ini akan menggalakkan lebih banyak pelabur swasta untuk melabur dalam PKS temptan pada fasa awal perniagaan,” katanya lagi.

SMEs Go Global dan SME Co-Investment Partners terbuka kepada PKS di semua sektor termasuk perusahaan kecil yang mempunyai potensi berkembang dan berinovasi.

Dalam majlis itu, Redzuan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) di antara SME Corp Malaysia dengan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd.

Kerjasama kedua-dua syarikat ini untuk menerapkan elemen ICT dan Digitalisasi kepada PKS merangkumi penyediaan khidmat nasihat dan sokongan teknikal.

Pada masa yang sama, SME Corp Malaysia dan Huawei bakal bekerjasama membangunkan program untuk memudahkan inovasi dan penerapan digitalisasi dalam kalangan PKS.-MalaysiaGazette