KUALA LUMPUR – Peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat mengulas apa-apa berkaitan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung notis tunjuk sebab terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang, portal berita Malay Mail Online dan wartawannya pada 29 November lepas.
Najib bertindak demikian selepas Malay Mail melalui wartawannya, Emmanuel Santa Maria Chin menyiarkan artikel tentang kenyataan Kit Siang terhadap perbicaraan membabitkan skandal SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya ketika ini.
Sepatutnya pengurusan kes bagi permohonan itu dengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali tetapi dilakukan dalam kamar sahaja.
Muhammad Shafee yang kemudian ditemui media selepas masuk ke kamar Mohd Nazlan sekitar 45 minit bagaimanapun mengunci mulut, enggan mengulas apa-apa berkaitan kes tersebut buat masa ini.
Kata beliau, mereka tidak dibenarkan untuk mendedahkan apa-apa selepas pertemuan dengan Mohd Nazlan di kamarnya sekitar jam 9.45 pagi tadi.
“Tidak, kita tidak boleh sebut apa-apa ketika ini. Tidak ada apa-apa pendedahan. Kami tidak boleh beritahu media apa yang berlaku dalam kamar Mohd Nazlan tadi,” katanya.
Malaysiakini melaporkan sumber enggan dikenali mendedahkan tarikh pengurusan kes baru untuk surat tunjuk sebab itu akan ditetapkan kemudian agar surat itu boleh difailkan.
Sebut sumber itu, pemfailan semula itu dilakukan berikutan keputusan dibuat oleh Mahkamah Rayuan.
Namun pada masa sama, sumber itu tidak memberitahu apakah keputusan secara khusus atau apakah kesannya terhadap permohonan bekas Perdana Menteri itu.
Sebelum ini berdasarkan afidavit, Najib memohon semua responden menunjukkan sebab mengapa mereka tidak patut disabitkankan ke penjara atau dikenakan denda untuk penghinaan mahkamah.
Dakwa Najib, Malay Mail dan Emmanuel ada menerbitkan artikel pada 9 November lalu yang bertajuk ‘Kit Siang: High Court decision on Najib and Tanjung Piai by-election outcome will indicate where Malaysia headed towards’ di laman sesawang malaymail.com.
Menurutnya, penulisan artikel itu direka untuk memutuskan kes jenayah terhadap Najib yang sudah didakwa di mahkamah.
Najib berkata, artikel itu adalah ancaman yang mempunyai kecenderungan bagi melemah atau menurunkan kuasa mahkamah bagi menghalang dan mengganggu proses keadilan serta dicemari dengan tekanan yang tidak wajar.
Menurutnya, artikel itu apabila dibaca secara keseluruhannya terkandung kepada penghinaan mahkamah yang serius dan serangan tidak wajar kepada badan kehakiman Malaysia.
Sebelum ini, pada 11 November lepas, Mohd Nazlan telah mengarahkan Najib untuk membela diri atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC dan ketika ini perbicaraan masih lagi berlangsung. – MalaysiaGazette
Teruskan saja saman tersebut kerna terang2an menghina mahkamah!