Home Nasional Pemuda UMNO kaji fail injunksi halang penjualan 11 anak syarikat THP

Pemuda UMNO kaji fail injunksi halang penjualan 11 anak syarikat THP

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO dijangka memfailkan injunksi bagi menghalang penjualan anak-anak syarikat milik Tabung Haji Plantations (THP) dalam masa terdekat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu bagi memastikan aset pegangan 9.4 juta pendeposit Tabung Haji (TH) tidak hilang sekali lagi.

“Pihak kami sedang meneliti dengan lebih dalam bersama pasukan bagi memutuskan untuk memfailkan injunksi bagi menghalang baki penjualan 11 anak syarikat milik THP oleh pendeposit TH,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Jumaat lepas, Asyraf mendedahkan penjualan anak syarikat THP, iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) yang memiliki tanah perladangan kepada sebuah syarikat swasta.

Menurut Asyraf, isu tersebut dianggap skandal kerana justifikasi kepada keputusan THP untuk menjual 76.2 peratus tanah-tanah perladangan milik THP.

Ini termasuk harga jualan, penukaran jurunilai dan kaedah nilaian tidak munasabah serta meragukan.

Dalam pada itu, Asyraf menegaskan, langkah injunksi itu bagi memastikan tanah perladangan milik THP tidak lagi dijual secara pukal pada harga rendah, sebagaimana yang berlaku dalam BSV dan MW.

“Mengapa THP menukar jurunilai bagi syarikat BSV dan MW.

“Apakah kaedah nilaian dan andaian yang digunakan oleh jurunilai baharu menjadikan nilai buku dari RM366.5 juta pada 2017 kepada RM122 juta pada 2018.

“Bagaimana harga jualan RM170 juta kepada Tamaco Plantations Sdn Bhd ditetapkan dan adakah YB Menteri bersetuju dengan harga jualan ini?” katanya lagi. – MalaysiaGazette