Home Nasional Pas puji langkah Sabah gantung penerbangan dari China

Pas puji langkah Sabah gantung penerbangan dari China

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan negeri Sabah menggantung sementara semua penerbangan dari China ke negeri itu sebagai satu langkah tepat membendung penularan wabak novel coronavirus di Sabah.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, penggantungan itu adalah langkah pencegahan terbaik bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, ia juga selari dengan pandangan Pas kerana buat masa ini kepentingan rakyat majoriti adalah lebih penting.

“Saya juga yakin kes seumpama ini hanya bersifat sementara dan akan lebih cepat dibendung sekiranya pihak berkuasa dapat mengelakkan kemasukan pelancong China ke Sabah dan juga Malaysia secara umum.

“Penurunan kemasukan pelancong juga saya kira hanya bersifat sementara kerana tarikan pelancong di Sabah amat banyak dan menarik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Aminuddin turut menggesa seluruh rakyat agar teruskan berdoa agar penularan virus tersebut tidak berlarutan lama dan keadaan akan kembali pulih seperti sediakala.

Ujarnya, masyarakat juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai virus itu supaya keadaan masyarakat akan lebih tenang dan terkawal. – MalaysiaGazette