JELAS sekali ancaman dan penularan wabak koronavirus (2019-nCOV) yang berasal dari Wuhan, China mula mencetuskan krisis kemanusiaan di seluruh dunia.
Rata-rata masyarakat antarabangsa terutamanya yang menerima kemasukan warga China mula panik dan bimbang.
Akhirnya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengisytiharkan wabak koronavirus ini sebagai kecemasan kesihatan global.
Ironinya, negara kita juga tidak terkecuali apabila sudah ada beberapa kes positif yang sedang dirawat.
Tatkala isu besar seperti ini melanda sesebuah negara, aspek pengurusan krisis akan menarik perhatian semua pihak.
Anggota masyarakat sudah tentunya mahukan pihak kerajaan menangani ancaman ini sebaik mungkin melalui kaedah dan prosedur pelan pengurusan krisis yang efisien dan berkesan.
Pengurusan krisis atau isu boleh ditafsirkan sebagai satu proses menyeluruh yang membabitkan aspek menjangka sesuatu kejadian/isu, menangani serta mengurus isu/krisis tersebut ketika sedang berlaku serta mempunyai pelan untuk mencegah daripada terus berlaku pada masa akan datang.
Tuntasnya ianya merupakan satu bentuk pelan pengurusan yang komprehensif dan membabitkan pelbagai pihak terutamanya pengurusan tertinggi kerana melibatkan proses membuat keputusan yang penting dan kritikal.
Jadi sejak tercetus wabak dari Wuhan ini anggota masyarakat meletakkan harapan yang besar kepada kerajaan agar segera mengaktifkan pelan pengurusan krisis supaya dapat mengurus, menangani dan mengawal penularan wabak yang dilaporkan belum mempunyai vaksin untuk menyembuhkannya.
Hal ini dilihat sangat signifikan kerana dalam masa yang begitu singkat situasi berubah menjadi sangat panik dan membimbangkan sehinggakan penutup hidung dan mulut (face mask) dan hand sanitizer laris umpama pisang goreng panas. Ironinya kekalutan dan panik dalam kalangan anggota masyarakat sememangnya boleh difahami dan mempunyai asas yang kukuh.
Namun kelemahan ketara kita ialah masih ramai yang gagal untuk memahami proses pengurusan krisis yang sebenarnya.
Akibatnya pelbagai tohmahan dilemparkan kepada pihak kerajaan kerana dikatakan gagal bertindak dengan segera termasuklah desakan untuk menghalang kemasukan warga China ke negara kita.
Media sosial seperti facebook dan twiter terus dijadikan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman terhadap kerajaan dan juga pihak berkuasa yang terlibat hanya kerana tidak menuruti desakan netizen untuk menutup pintu masuk kepada rakyat China.
Ironinya kita lupa bahawa kerajaan sudahpun mengaktifkan pelan pengurusan krisis melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri.
Malah lebih signifikan lagi dalam kes ancaman wabak kesihatan seperti ini jangan juga lupa betapa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan kita adalah pegawai perubatan.
Jadi tidak mungkin mereka tidak tahu keseriusan sesuatu ancaman wabak apatah lagi boleh bertindak lambat. Kita juga perlu tahu sudah ada pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang telah dibangunkan untuk berhadapan dengan ancaman penyakit seperti ini.
Hal ini kerana jangan juga lupa betapa kita sudah ada pengalaman sebelum ini berhadapan dengan begitu banyak ancaman wabak penyakit dan virus seperti, H1N1, SARS, MERS, JE dan yang lain-lain.
Oleh itu adalah agak keterlaluan jika netizen begitu mudah jatuhkan hukuman dan lemparkan tuduhan bahawa kerajaan berdiam diri, lambat bertindak, bermain politik atau takut kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM 2020) akan terjejas.
Langsung tidak ada kelogikan dalam hal ini kerana mana mungkin sebuah kerajaan akan begitu mudah dan senang mengabaikan kesihatan dan keselamatan rakyatnya. Juga mana mungkin kerajaan tidak mendengar keluh kesah dan pelbagai desakan yang dibuat oleh rakyat.
Jelas sesekali yang menjadi perbezaan yang ketara di sini ialah aspek pengurusan emosi dalam kalangan anggota masyarakat kita.
Masyarakat terlalu mudah beremosi, hilang pertimbangan lantas panik dan marah.
Walaupun berkali-kali pihak kerajaan menegaskan keadaan masih terkawal, tiada keperluan untuk panik serta para petugas sedang menangani wabak ini, namun kita masih tidak dapat menerima penjelasan pihak kerajaan.
Justeru adalah sangat penting untuk kita memahami aspek pengurusan krisis supaya boleh memahami bentuk tindakan dan langkah yang akan dan sedang diambil oleh pihak kerajaan.
Sedarlah bukan mudah untuk menguruskan sesuatu krisis apatah lagi bila sampai ke detik kita perlu membuat keputusan. Sebelum membuat keputusan kita perlu menilai dan meneliti segala data dan maklumat yang ada di samping segala pilihan keputusan yang boleh dilakukan.
Hal ini perlu hadir dengan penuh tanggungjawab terutamanya mengambilkira kesan dan impak setelah sesuatu keputusan itu dibuat.
Jadi bagi penulis walaupun kemarahan boleh difahami, namun apa yang lebih penting dari itu ialah keperluan untuk kita memahami proses pengurusan krisis serta kebijaksanaan para pemimpin negara dalam membuat sesuatu keputusan tanpa dipengaruhi emosi serta desakan netizen semata-mata.
Apa yang pasti setelah menilai dan meneliti segala perkembangan terkini, akhirnya pihak kerajaan telah menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei.
Oleh itu sebagai warga negara yang bertanggungjawab, elaklah untuk sebarkan sebarang bentuk berita palsu, jangan terlalu cepat menjatuhkan hukuman serta berilah ruang secukupnya kepada pihak kerajaan yang dibantu oleh pakar dari pelbagai bidang untuk mengurus dan menangani krisis ini sebaik mungkin.
Penulis sangat yakin pihak kerajaan akan sentiasa mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan.
Ingat, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Noor Mohamad Shakil Hameed.
Timbalan Pengarah,
Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM.