Home Nasional MTUC bidas tindakan Perkeso nafi dialisis percuma

MTUC bidas tindakan Perkeso nafi dialisis percuma

KUALA LUMPUR -Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diminta menarik balik syarat baru menafikan pencarum daripada rawatan dialisis percuma

Langkah itu disifatkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak berperikemanusiaan.

Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, tindakan Perkeso meminda syarat kelayakan itu akan menjejaskan penerima dan pencarum baru menghidap kegagalan ginjal kronik yang berdaftar di bawah Skim Pencen Ilat, Bantuan Ilat serta Insuran Bencana Pekerjaan.

Di bawah syarat baharu yang dikuatkuasakan sejak 10 Jan lalu itu, katanya, kelayakan pemohon untuk mendapat rawatan dialisis percuma terikat kepada tempoh dan jumlah caruman mereka kepada Perkeso.

“Dengan mengetatkan kriteria kelayakan, Perkeso mengehad dan dalam sesetengah kes menolak pencarum serta penerima yang menghidap penyakit ginjal tahap akhir daripada rawatan dialisis percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Solomon, ramai daripada mereka yang menjalani dialisis tidak mampu membayar kos rawatan itu.

Golongan paling terjejas ialah pemohon baru di bawah Skim Bantuan Ilat yang langsung tidak akan mendapat rawatan dialisis percuma kerana tidak memenuhi syarat minimum baru, katanya.

“Keputusan Perkeso mengehad atau menafikan rawatan dialisis percuma kepada pemohon baru paling kejam kerana ia menjejaskan pekerja paling miskin.

“Contohnya, pencarum di bawah Skim Bantuan Ilat adalah mereka yang tidak mampu memberi caruman bulanan secara tetap kepada Perkeso.”

Solomon berkata, syarat baru yang terkandung dalam pekeliling bertarikh 17 Januari itu menyatakan lembaga pengarah Perkeso meluluskan “pelan tindakan cadangan itu untuk merapatkan jurang aset dan liabilitinya serta menambah baik kemampanannya”.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setiap faedah yang sudah ada haruslah diperbaik kpd yg Lebih baik, bukanya ditukar kepada yang lebih teruk. Perkeso mengaut keuntungan dari caruman gaji kaum pekerja, sepatutnya faedah terhadap kaum pekerja harus lah diberikan yang terbaik bukan menyusahkan.

    Kementerian Sumber Manusia semakin melampau didalam bentuk penidasan kpd kaum pekerja, terutama golongan B40 & M40.

Comments are closed.