KUALA LUMPUR – Selepas dimulakan operasi menerima pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 1 Januari 1971, Maktab Turus Angkata Tentera (MTAT) secara rasminya menamatkan operasinya hari ini.
Operasinya tidak ditutup selamanya cuma telah dipindahkan ke Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Persint 9, Putrajaya secara berperingkat mulai September tahun lalu.
Berikutan itu, Kursus Pemerintahan dan Staff Malaysia (KPSM) siri 49/2020 telah memulakan sesi pengajian di situ sejak 1 September lalu dan akan tamat pengajian pada 31 Ogos 2020.
Bagaimanapun, bekas Komandan pertama yang mengasaskan MTAT bermula 1 Januari 1971 hingga Disember 1973, Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk A. Arulpragasam, 91, berasa kagum dengan kemajuan dan pencapaian yang dikecapi MTAT sejak 49 tahun lalu.
Katanya yang masih segak serta sihat, peredaran masa dan perkembangan revolusi teknologi yang pesat sejak lima dekad ini telah mengubah struktur geopolitik dan strategik pertahanan negara serta ATM dan berada pada landasan yang tepat.
“Saya kagum dan gembira dijemput ke majlis penutupan premis MTAT yang saya pernah terajui dengan pegawai tentera seramai 12 orang sahaja yang dipilih saya sendiri atas restu PAT (Panglima Angkatan Tentera) ketika itu seperti yang dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri.
“Kami menggunakan ruang dan kemudahan ketenteraan terhad yang ada ketika itu sedangkan waktu itu pengetahuan yang kami fokus hanya latihan dan operasi di hutan berminggu-minggu, tekan otak fikirkan strategi ketenteraan sahaja.
“Itu yang digunakan untuk melatih serta memberikan kursus kepada pegawai kadet menguasai ilmu strategi ketenteraan yang sehingga kini meninggalkan palbagai kenangan dan kesan bermakna.
“Bulu roma saya naik apabila teruja sangat dapat berdiri semula selepas 49 tahun yang mana banyak perubahan dapat dilihat kali ini, saya tak sedih penutupan premis ini sebaliknya ia perlu diterima dengan hati terbuka disamping bangga banyak kemajuan dikecapinya selama ini serta sepanjang perkhidmatan saya selama 27 tahun sehingga 1981 sebelum saya meninggalkannya dengan persaraan pilihan.
“Saya sempat diberi peluang melawat dan melihat sendiri PUSPAHANAS di Putrajaya hari ini dan sangat mengkagumkan teknologi moden, kemudahan serta struktur reka bentuk bangunan itu sendiri yang mana teknologi sudah berkembang begitu matang sekali,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan dan penyerahan premis MTAT petang tadi.
Majlis Penutupan premis itu disempurnakan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan turut dihadiri lima bekas komandan daripada 19 orang yang pernah menerajuinya.
Ditanya mengenai perasaannya mengenai penutupan MTAT serta permulaan operasi di premis serba canggih, Arulpragasam menasihatkan pengurusan pegawai dan anggota tentera ATM supaya bergerak dan mengecapi perkembangan teknologi masa depan seiring dengan peredaran masa.
Menurutnya, jika dibandingkan dengan zaman dua dekad awal penubuhan MTAT menyaksikan pengajian mencakupi skop strategi ketenteraan sahaja, kini ia sudah diperluaskan kepada pihak awam dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia.
Sejajar dengan perkembangan baharu itu, jelasnya, ATM perlu menjalankan lebih banyak penyelidikan dari segi aspek strategi pertahanan dan ketenteraan.
Beliau juga meluahkan keyakinan premis baharu yang sudah menerima peserta pengajian berupaya menambah bilangan peserta pegawai kadet, baik tempatan dan juga luar negara, pada masa akan datang memandahkan fasiliti yang cukup luas dan moden.
Arulpragasam juga menyatakan rasa bangga legasi yang ditinggalkannya diteruskan pentadbiran masa kini di bawah Komandan Brigader Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dengan baik dan terpelihara pada tahap tinggi dengan sikap bertanggungjawab, berdisiplin dan berintegriti ketenteraan yang tinggi.
Mengimbas dan berkongsi kenangan beliau sepanjang berada di MTAT, beliau sentiasa memastikan tahap latihan yang tinggi serta operasi hutan selama berminggu lamanya, selain kursus ke luar negara untuk memantapkan ilmu ketenteraan.
Cheaster, England dan Canberra, Australia antara lokasi luar negara untuk berlatih dan menimba ilmu ketenteraan beliau dengan beberapa pegawai tentera ketika itu.
Beliau juga menjelaskan, seorang anggota dan pegawai tentera harus aktif dan berlatih demi kesiapsiagaan dan perlu sentiasa mengekalkan disiplin.
“Jangan ingkar arahan pihak atasan dan sentiasa patuh perintah pegawai atasan dan sedia berkhidmat. ATM telah mengajar banyak perkara bermanfaat kepada saya sepanjang tiga dekad perkhidmatan sebelum bersara dan menceburi bidang korporat selama 33 tahun,” katanya.
Beliau meluahkan hasrat supaya PUSPAHANAS perlu terus mengembangkan peranannya untuk menarik pegawai dalam dan luar negara.
Beliau sempat berkongsi kisah insiden helikopter Nuri yang ditembak jatuh mengakibatkan 13 anggota tentera terkorban dalam tragegi menghayat hati itu.
MTAT diserahkan kepada Bahagian Komunikasi dan Elektronik (KOMLEK), Markas Tentera Rejimen 91 RSD, dan Wisma Perwira ATM.
Maktab berkenaan berjaya melahirkan 5,390 graduan pegawai melibatkan tiga sektor dalam ATM selain 62 pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan 5 penjawat awam serta dua pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) dan 1,169 pegawai tentera negara asing.
Kini perkhidmatannya diakhir secara rasmi oleh 165 pegawai ATM pada 4 Disember 2019 lalu. – MalaysiaGazette