MELBOURNE – Juara Grand Slam 20 kali, Roger Federer berkata kekalahanya kepada Novak Djokovic dalam aksi separuh akhir Tenis Terbuka Australia semalam bukan sekadar menakutkan, tetapi juga sangat memalukan.
Katanya, ketika beraksi di atas gelanggang beliau merasakan peluangnya untuk menewaskan Novak Djokovic hanya tiga peratus sahaja.
.”Ikhlas kata, kekalahan itu sangat teruk dan menakutkan dengan apa yang saya lalui di atas gelanggang semalam.
“Lagipun daripada tidak berpeluang langsung, peluang tipis 3 peratus untuk tewaskan Djokovic memadai walaupun kalah.
“Satu permulaan dan pengakhiran yang baik untuk saya dalam kejohanan kali ini,” katanya.
Selaku juara bertahan Tenis Terbuka Australia, Djokovic menewaskan Federer 7-6, (7-1), 6-4, 6-3 dalam aksi sengit di Melbourne Park semalam.
Menurut Federer, misi Djokovic yang mengejar gelaran kelapan Tenis Terbuka Australia kali ini menunjukkan dia adalah pemain yang sempurna yang tidak boleh dipersoalkan lagi.
Para pengulas sukan tenis dan juga penyokong Federer mula mempersoalkan tahap kecergasan bintang itu semasa beraksi di gelanggang.
“Saya rasa boleh menang aksi itu. Kebiasaannya saya tidak akan turun ke gelanggang jika merasakan tidak ada peluang untuk menang,” katanya sambil menegaskan dia perlu mencari ruang untuk memperbetulkan kesilapan itu dan bangkit segera.
Walaupun berdepan masalah di atas gelanggang, Federer pada satu masa berjaya mendahului Djokovic 4-1 sebelum lawannya bangkit untuk memenangi set tersebut.
Namun Roger yakin dia masih mampu melakar kemenangan dan menjulang lebih banyak gelaran Grand Slam pada masa akan datang tahun ini. – MalaysiaGazette