KUALA LUMPUR – Aset perbankan Islam dijangka separuh daripada aset-aset perbankan menjelang tahun 2030 berikutan pertumbuhan industri perbankan Islam mengatasi perbankan konvensional.
Pinjaman dalam perbankan Islam dijangka meningkat sebanyak 10% hingga 15% setahun dalam tempoh lima tahun akan datang, melebihi pertumbuhan 5% hingga 7% dalam perbankan konvensional, menurut Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Adissadikin Ali.
“Pengguna kini sudah mengetahui produk patuh Syariah, katanya.
Selain itu, tumpuan industri terhadap pembiayaan berasaskan nilai, yang melindungi orang ramai, akan membantu memacu permintaan di tengah-tengah minat yang semakin meningkat dalam pelaburan beretika, tambah beliau.
Malaysia, yang mempelopori kewangan Islam pada tahun 1980-an, menetapkan sasaran aset perbankan Islam mencapai 40% daripada jumlah industri menjelang 2020.
Jumlah itu mencapai 31% pada 2018, bersamaan dengan RM916.7 bilion (AS$224 bilion), menurut Bank Pusat.
Adissadikin, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif di RHB Islamic Bank Bhd yakin dengan unjuran 50% yang ditetapkan pada tahun 2030 walaupun Malaysia gagal mencapai sasaran untuk tahun 2020.
Tanda-tanda itu boleh dilihat di bank terbesar negara, katanya, dengan pinjaman Islam di Malayan Banking Bhd mencatatkan 61% daripada jumlah keseluruhan dan nisbah RHB Bank Bhd meningkat kepada 38%, daripada 26% pada tahun 2017.
“Perbankan Islam di Malaysia sudah setara dengan perbankan konvensional. Apa yang anda lihat di konvensional, anda boleh lihat pada perbankan Islam,” tambahnya. – MalaysiaGazette