KUALA LUMPUR – Udara dalam kabin pesawat lebih bersih setaraf kebanyakan hospital berbanding di bangunan pejabat, kata Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Justeru risiko untuk penumpang dijangkiti koronavirus di dalam pesawat adalah sangat rendah.
Tambah MAB menerusi kenyataan, udara di kabin dikitar semula selepas melalui proses penapisan udara partikel berefisien tinggi (High Efficiency Particulate Air – HEPA).
“Ini bermaksud kebarangkalian untuk anda terdedah kepada bakteria dan virus menerusi kitaran udara (dalam pesawat) adalah sangat rendah.
“Malah, disebabkan sistem pengudaraan yang baik dan sangat berkesan, udara di dalam kabin pesawat adalah lebih bersih berbanding bangunan pejabat serta setaraf kualiti di kebanyakan hospital.
“Bagaimanapun, marilah kita menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan kerap membasuh tangan, selain mematuhi etika ketika bersin atau batuk dalam khalayak umum,” kata MAB.
Baru-baru ini Malaysia Airlines mengumumkan membenarkan pembatalan tiket dengan bayaran balik penuh selain perubahan ke atas tiket secara percuma penerbangan ke dan dari China negara yang kini menular teruk Koronavirus.
Buat masa ini hanya Sabah menggantung sementara semua penerbangan dari China berkuat kuasa serta-merta 30 Januari yang lalu sehingga tarikh diberitahu kelak.-MalaysiaGazette