KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengambil tindakan ke atas pengusaha kosmetik, Muhmamad Sajad Kamaruzzaman.
Pengerusi Sekretariat Agamawan Mudanya, Afif Farhi Othman berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi menjaga nama dan hubungan baik antara Malaysia dengan Arab Saudi dalam soal urusan jemaah umrah dan haji.
“Kami mendesak menteri yang begitu lunak di dalam melayani dan menyantuni golongan ini atas konsep “Rahmatan Lil A’lamin” agar tampil membuat kenyataan dan mengambil tindakan segera bagi memelihara nama baik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, tular gambar Sajad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat bersama keluarga dan rakan-rakannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berangkat ke tanah suci Makkah bagi mengerjarkan ibadat umrah.
Sajat dan dua lagi rakannya kelihatan mengenakan jubah lelaki sebelum berangkat, bagaimanapun sebaik sahaja berada di Makkah, beliau menukar penampilannya sebagai jemaah wanita yang lengkap bertelekung.
Tindakan Sajat mengundang kritikan dan cemuhan netizen, tidak kurang pula mempersoalkan bagaimana pengusaha kosmetik itu boleh lepas ke Mekah sebagai jemaah wanita sedangkan kad pengenalannya sebelum ini yang tular jelas tertera nama dan jantinanya seorang lelaki.
Dalam pada itu, Afif Farhi juga berharap Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dapat memberi jaminan bahawa tindakan Sajat itu tidak akan menjejaskan urusan jemaah umrah yang lain.
“Peristiwa ini dibimbangi akan menyebabkan syarat keperluan untuk kelulusan visa akan lebih diperketatkan dan menyukarkan prosesnya.
“Pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia agar perlu diberikan penjelasan supaya hubungan antara Malaysia dan Saudi kekal baik serta tidak memberikan implikasi negatif kepada jemaah umrah yang lain,” katanya.
Selain itu, syarikat atau agensi pelancongan yang mengendalikan umrah untuk memperketatkan prosedur dalam menguruskan jemaah transgender.
“Ia bagi memastikan tidak berlaku perlanggaran syarat, hukum-hakam, garis panduan mahupun undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
Katanya lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga digesa merancakkan lagi aktiviti dakwah dalam membendung gejala transgender daripada tersebar luas.
“Pihak Jakim perlu membuktikan kesahihan jantina individu ini serta lebih tegas di dalam membendung gejala transgender daripada tersebar luas.
“Jakim diharapkan dapat melipatgandakan aktiviti dakwah dengan melibatkan organisasi-organisasi dan badan-badan dakwah yang ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette