Home Ekonomi Proton rekod prestasi kukuh

Proton rekod prestasi kukuh

proton x70
X70 terus mengungguli jualan SUV dalam pasaran tempatan.

KUALA LUMPUR- Proton Holdings Bhd. (Proton) merekodkan jumlah pendaftaran baharu sebanyak 8,506 pada Januari ini atau peningkatan 20.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, prestasi baik itu masih mampu direkodkan meskipun Januari adalah bulan yang pendek kerana cuti Tahun Bharu Cina.

Syarikat automotif itu menurut beliau berjaya mencapai jangkaan dan seterusnya mengekalkan kedudukan pada tangga kedua.

“Januari selalunya bulan yang sukar tetapi kami masih mampu merekodkan prestasi terbaik dalam tempoh empat tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Li, Proton X70 juga terus mengekalkan kedudukan selaku peneraju segmen dengan keseluruhan 1,367 unit telah didaftarkan.

Manakala Saga pula terus mengekalkan prestasi baiknya dengan mewakili hampir separuh daripada jumlah jualan apabila sejumlah 3,871 unit berjaya dijual dan sekali gus merekodkan lonjakan sebanyak 72 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Persona, Iriz dan Exora turut memberikan prestasi yang baik jika dibandingkan dengan jualan setahun lalu.

Malah Persona berjaya mencatatkan jualan dua kali ganda dengan 2,109 unit telah diserahkan kepada pelanggan.

“Para pelanggan telah melihat nilai dalam rangkaian produk kami yang telah ditambah baik terutamanya bagi Saga, Persona, Iriz dan Exora yang kesemuanya dilancarkan tahun lepas.

“Kami percaya dengan memberi penekanan kepada teknologi, keselamatan dan kualiti, ianya akan menjadi pemacu kepada jualan.

“Namun begitu, kami tidak akan terus selesa sebaliknya akan meneruskan usaha untuk meningkatkan standard kualiti dan perkhidmatan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette