KUALA LUMPUR – Langkah Kajang yang sebelum ini telah ‘memangsakan’ bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini bakal berulang.
Namun kali ini dipercayai membabitkan orang kuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu Zuraida Kamaruddin.
Menurut sumber dalaman PKR, Zuraida yang kini sedang menggalas jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dikatakan akan menjadi mangsa pemecatan seterusnya.
Belum pun Lembaga Disiplin PKR membuat sebarang keputusan, namun sudah ada suara-suara sumbang mengatakan Zuraida akan dipecat pada Februari ini.
Menurut sumber MalaysiaGazette, tindakan seorang pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR itu dilihat mendahului keputusan Lembaga Disiplin PKR dan lebih mengejutkan ia didakwa didalangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
“Anwar berbuat sedemikian kepada Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR semasa masih menjadi MB Selangor. Fitnah 95 muka surat dikeluar dan diedar oleh Saifuddin Nasution ke seluruh negara semata-mata mahu membenarkan langkah pemecatan Khalid Ibrahim.
“Tetapi Khalid bukan tunggul, beliau bawa isu itu ke mahkamah yang akhir keputusan memihak kepadanya. Saifuddin terpaksa menahan malu membuat permohonan maaf terbuka atas fitnah 95 muka surat itu.
“Sekarang Anwar mahu melakukan langkah sama ke atas Azmin dan Zuraida. Langkah pecat tetapi menggunakan ‘ketumbukan mafia’ dan NGO picisan, Otai Reformis antaranya untuk ‘gerakan nasional’ mendesak Zuraida dipecat. Anwar sudah mahu melakukannya by hook by crook,” kata sumber yang sama hari ini.
Bulan lalu, Pengerusi MPN Kedah, Datuk Johari Abdul mendakwa, 11 daripada 14 ketua MPN itu sebulat suara mahu Jawatankuasa Disiplin PKR memecat Zuraida kerana telah melanggar beberapa perkara-perkara penting dalam parti termasuk menghina Presiden.
Zuraida didakwa menghina Anwar dan pemimpin PKR lain dalam Majlis makan malam itu dianjurkan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejurus selepas mereka yang bersekutu dengan puak Azmin memboikot hari terakhir kongres national parti itu di Melaka. – MalaysiaGazette