SERI KEMBANGAN – Rakyat Malaysia di Wuhan dan Hubei, China yang benar-benar sihat serta bebas daripada jangkitan wabak koronavirus sahaja dibenarkan dibawa pulang ke negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat bilangan sebenar rakyat Malaysia yang dibenarkan berlepas dari wilayah wabak virus itu.
“Kita kena buat saringan (kesihatan) untuk mereka sihat dan layak untuk dibawa pulang.
“Mereka perlu benar-benar sihat mengembara sebelum kita jemput pulang.
“Setakat ini kita belum lagi dapat bilangan muktamad rakyat Malaysia yang boleh dibawa pulang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di Wisma Huazong, di sini, malam ini.
Terdahulu, pesawat khas yang disewa bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan, China telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) jam 3.50 petang tadi.
Penerbangan AirAsia (AK8264) itu membawa 12 krew dan lapan petugas berlepas ke Wuhan, China bagi membawa pulang 141 rakyat Malaysia, termasuk pasangan dan anak mereka.
Dalam pada itu, Wan Azizah juga mengesahkan bahawa pesawat khas dari Malaysia itu telah selamat sampai di Wuhan, China, sebentar tadi.
“Alhamdulillah dah sampai (pesawat khas) sudah mendarat.
“Pesawat kita sudah ada di sana, rakyat kita boleh menaikinya untuk dibawa pulang,” katanya lagi.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa hampir sejam bersama ribuan masyarakat Cina bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina.
Wan Azizah bersama 60 pemimpin masyarakat Cina turut beramah mesra dan bersalaman dengan tetamu yang hadir dalam majlis anjuran Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) itu.
Pada majlis itu, Wan Azizah bersama kenamaan lain turut berpeluang menggaul hidangan Yee Sang, acara tradisi setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.
Hadir sama Presiden Huazong, Tan Sri Dr Goh Tian Chuan dan Duta Republik Rakyat China ke Malaysia, Bai Tian. – MalaysiaGazette