PARIS – Pemimpin Arab Saudi dan Rusia mengesahkan telah berhubung susulan kejatuhan pasaran minyak – merupakan isyarat terkini yang OPEC dan sekutunya sedang mewujudkan konsensus untuk mengurangkan pengeluaran minyak bagi menstabilkan harga.
Presiden Vladimir Putin dan Raja Salman Abdulaziz telah membincangkan pasaran tenaga pada petang semalam, Kremlin mengesahkan dalam satu kenyataan.
Malah, Arab Saudi juga mengesahkan mengenai perbincangan tersebut.
Kedua-dua pemimpin mengesahkan kesediaan masing-masing untuk meneruskan kerjasama dengan OPEC dan sekutunya.
Niaga hadapan minyak Amerika Syarikat menjunam di bawah AS$50 setong buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun semalam, ekoran kebimbangan pelabur terhadap penularan koronavirus yang telah menjejaskan permintaan pengimport terbesar dunia.
Penanda aras Brent di London turut menyusut di bawah AS$55 setong, terendah dalam tempoh lebih setahun.
Kejatuhan itu menambah tekanan ke atas kumpulan pengeluar minyak manakala Arab Saudi telah mencadangkan tindakan itu sejak minggu lalu.
Permintaan minyak di China telah menjunam sebanyak 20% akibat wabak virus, dengan kemasukan di bandar-bandar disekat, penerbangan dibatalkan dan operasi di loji-loji penapisan dihentikan sementara.
Pakar teknikal dari pakatan OPEC + yang termasuk Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan pengeluar lain seperti Rusia, akan bertemu di Vienna pada hari Selasa untuk menilai kesan virus itu.
Penilaian itu mungkin dapat mengenal pasti sama ada pakatan 23 buah negara tersebut – yang mengeluarkan separuh daripada keperluan minyak dunia akan mempertimbangkan pelaksanaan pengurangan pengeluaran minyak. – MalaysiaGazette