PUTRAJAYA- Malaysia-Pakistan bersetuju untuk mengadakan perbincangan lebih kerap bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, perbincangan itu seharusnya menjurus kepada pemansuhan halangan-halangan di beberapa sektor perdagangan dan pelaburan di samping membangunkan hubungan di antara sektor swasta kedua-dua negara yang telah bersahabat sekian lama itu.
“Perbincangan yang lebih kerap itu juga adalah untuk menangani isu-isu yang menyebabkan ketidakseimbangan perdagangan dua hala.
“Kami juga bersetuju untuk menyatakan komitmen bagi mengukuhkan perhubungan dalam sektor pertahanan, penguatkuasaan undang-undang, pelancongan dan pendidikan.
“Malaysia dan Pakistan juga bersetuju untuk mengadakan lebih banyak pertukaran pendapat di pelbagai tingkat bagi menetapkan hala tuju hubungan bilateral pada masa hadapan,” katanya semasa sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di sini hari ini.
Terdahulu, kedua-dua perdana menteri itu mengadakan pertemuan empat mata untuk membincangkan pelbagai isu berkenaan hubungan dua hala di antara Malaysia-Pakistan.
Imran tiba semalam dalam lawatan kerja dua harinya ke Malaysia.
Mahathir itu juga menggunakan kesempatan yang ada untuk bertukar-tukar pendapat mengenai situasi semasa yang melanda umat Islam pada hari ini terutama yang melibatkan penderitaan rakyat Palestin dan entnik Rohingya di Myanmar.
Dr. Mahathir dan Imran juga menyaksikan pemeteraian Perjanjian Ekstradisi kedua-dua negara yang ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dan Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi.- MalaysiaGazette